Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majikan diingatkan jangan halang pekerja Islam solat Jumaat
Diterbitkan:  Oct 19, 2018 2:48 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Majikan di Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak menghalang pekerja beragama Islam menunaikan solat Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri J Arul Kumar berkata perbuatan menghalang pekerja beragama Islam menunaikan solat Jumaat jelas menafikan hak pekerja berkenaan.

"Berikan pekerja kelonggaran dan jadual waktu untuk solat Jumaat. Majikan boleh menyusun atur waktu bekerja bagi membolehkan pekerja beragama Islam untuk menunaikan solat Jumaat dan selesai solat boleh balik bekerja," katanya pada sidang media hari ini. Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Negeri Sembilan (JTKNS), S Tharu Marajan.

Mengenai isu majikan potong gaji pekerja dari Bangladesh kerana solat Jumaat yang tular di facebook Isnin lepas, beliau berkata JTKNS telah menjalankan siasatan ke atas majikan terbabit pada Selasa lepas serta telah menemuduga tiga pekerja Bangladesh yang terpapar dalam 'posting' tersebut.

"Siasatan mendapati pekerja asing ini diberi tiga jam rehat untuk solat pada hari Jumaat dan tiada sebarang potongan atau pun pengurangan gaji untuk waktu tersebut. Waktu kerja biasa pada hari Jumaat dianjak hingga 6.30 petang bagi menggantikan dua jam rehat tambahan yang diberikan kepada mereka untuk solat. Dalam perkara ini tiada isu apa pun dan majikan mematuhi Seksyen 60A Akta Kerja 1955, cuma salah tafsir.

"Kebanyakan pekerja asing Bangladesh ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Kariah Pekab Labu dan pekerja asing yang ditemui memaklumkan bahawa mereka menggunakan basikal untuk ke masjid dan sekiranya hujan, mereka akan menggunakan teksi. Kita telah berbincang dengan majikan agar menyediakan pengangkutan kepada pekerja untuk ke masjid pada hari hujan," katanya.

Katanya majikan dalam isu ini adalah sebuah kilang membuat tilam yang beroperasi di Batu 9, Jalan Labu dan menggajikan 36 orang pekerja yang terdiri dari 16 orang pekerja tempatan dan 20 orang pekerja asing (19 Bangladesh dan seorang Indonesia).

Lembu, kerbau berkeliaran

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Pejabat Daerah dan Tanah Seremban akan menjalankan operasi besar-besaran penangkapan lembu dan kerbau yang berkeliaran di kawasan awam di daerah Seremban.

Katanya penangkapan lembu dan kerbau ini akan dibuat oleh Pihak Berkuasa Tempatan tanpa sebarang notis.

Katanya tindakan penangkapan lembu dan kerbau ini dibuat kerana pihaknya telah menerima banyak aduan ternakan terbiar sepanjang jalan utama di Pekan Mantin dan taman perumahan.

"Malah, dalam kejadian Ahad lepas, dua orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin yang menunggang motosikal maut akibat terlanggar haiwan semasa melalui jalan dari Desa Pinggiran Bayu, Mantin ke Kampung Sungai Jai. Manakala pada 8 Okt lepas, empat ekor kerbau dijumpai mati di hadapan Sekolah Kebangsaan Mantin akibat dilanggar kenderaan. Dalam kedua-dua kejadian itu, pemilik tidak mengaku haiwan ternakan mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemilik haiwan ternakan di daerah Seremban supaya tidak menyalahkan pihak berkuasa apabila tindakan (menangkap) diambil ke atas haiwan ternakan mereka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS