Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MCA persoal langkah terburu-buru k'jaan mansuh hukuman mati
Diterbitkan:  Oct 21, 2018 9:15 AM
Dikemaskini: 1:21 AM

Timbalan presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong mempersoalkan langkah terburu-buru kerajaan dalam memansuhkan hukuman mati.

Beliau berkata kerajaan sekurang-kurangnya perlu membenarkan jawatankuasa pilihan parlimen untuk meneliti cadangan itu terlebih dahulu.

"Saya telah mencadangkan kepada kerajaan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa pilihan parlimen untuk melihat pemansuhan hukuman mati, yang kemudian disuarakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming.

"Tetapi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong kini mengatakan kerajaan tidak akan berbuat demikian kerana kabinet telah membuat keputusan untuk memansuhkan hukuman mati.

"Saya berharap agar kerajaan dapat menghormati peranan parlimen dalam hal ini. Lagipun, menghapuskan hukuman mati memerlukan pindaan terhadap lapan undang-undang, yang meliputi 32 kesalahan," kata Wee dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mempersoalkan langkah itu mempunyai kaitan dengan kegagalan mengektradisi Sirul Azhar Umar dari Australia kerana negara itu tidak menyokong hukuman mati.

Sirul, bekas pengawal peribadi kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini didapati bersalah kerana membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu.

"Antara mengekstradisi Sirul dan penilaian mendalam untuk menghapuskan hukuman mati, yang mana lebih penting?

"Perlu ada lebih banyak usaha untuk membincangkan sama ada penghapusan hukuman mati sesuai untuk Malaysia pada peringkat ini," katanya.

Wee juga mempersoalkan cadangan untuk menubuhkan tabung pampasan bagi mangsa.

"Bagaimanakah kerajaan merancang untuk menampung dana ini, adakah ia akan mengurangkan perbelanjaan lain atau memperkenalkan cukai baru? Jika ya, perbelanjaan yang mana akan terjejas?" katanya.

Lihat Komen
ADS