Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib ungkit 'janji hapus Grab' yang timbul pada PRU14
Diterbitkan:  Oct 21, 2018 3:39 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Pada hari sama berlakunya kekecohan di dialog Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemandu teksi, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membangkitkan semula dakwaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk menghapuskan perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi seperti Grab sebelum PRU ke-14.

Ia di sebalik Mahathir ketika itu telah pun menafikan ada membuat janji seperti itu.

"Seperti yang saya nyatakan minggu lepas, janji palsu tersebar di kalangan pemandu teksi sebelum PRU ke-14 bahawa HARAPAN akan haramkan Uber dan Grab bila mereka berkuasa.

"Ia antara punca utama pemandu teksi menolak dan memburukkan kerajaan BN yang pernah banyak menolong mereka.

"Selain janji palsu, turut tersebar kononnya isteri saya adalah pemilik Grab (yang) menambah kebencian mereka. Kebenaran akhirnya muncul pagi ini," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Dalam satu majlis di Langkawi pagi tadi, sekumpulan pemandu teksi berteriak dan bertindak keluar daripada acara itu kerana tidak menerima penjelasan perdana menteri berkenaan Grab.

Ketika kempen PRU ke-14, Najib mengkritik Mahathir kerana menurutnya mahu mengharamkan perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi jika HARAPAN menang.

Mahathir bagaimanapun menafikan ada membuat janji seperti itu.

Beliau berkata hanya menggesa penilaian semula agar memastikan hak kedua-dua pihak - pemandu teksi dan perkhidmatan itu - dilindungi.

Dakwaan janji itu pertama kali muncul selepas portal the Star Online melaporkan Mahathir berkata demikian tetapi artikel tersebut sudah dipadam.

Najib berkata reaksi pemandu teksi di Langkawi hari ini mungkin kerana percaya dengan janji tidak rasmi Pakatan Harapan itu.

Katanya, banyak janji tidak rasmi seumpama itu dibuat, termasuk seperti yang dinyatakan di laman Facebook rasmi BERSATU Johor, antaranya menstabilkan harga petrol kepada RM1.50.

"Ramai rakyat yang tidak membandingkan janji-janji 'tidak rasmi' ini yang tersebar meluas dan dipercayai, dengan manifesto bertulis sebenar atau yang dilaporkan di berita," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS