Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Husam harap Kelantan ada lapangan terbang antarabangsa

Perancangan kerajaan persekutuan untuk meneruskan projek pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu, Kelantan diharap dapat diberi status sebagai lapangan terbang antarabangsa, kata Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Husam Musa.

Justeru beliau berharap, kerajaan persekutuan melaksanakan pembesaran lapangan terbang itu secepat mungkin.

"Saya harap kerajaan juga dapat memberikan kedudukan lapangan terbang ini sebagai landing place kepada penerbangan antarabangsa khususnya daripada negara China, Vietnam, Jepun, Filipina dan negara-negara sekitar.

"Ini supaya Kelantan dapat menjadi pintu masuk kepada pelancong luar negara seperti dari China, Jepun, Vietnam, Filipina dan negara-negara sekitar," katanya kepada media ketika hadir ke program Santai Petang bersama Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Husam yang juga pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan berkata demikian sebagai mengulas hasrat kerajaan persekutuan untuk meneruskan beberapa projek pembangunan di negeri itu.

Sehubungan itu menurutnya, kerajaan negeri Kelantan perlu mewujudkan kemudahan dan daya tarikan dalam usaha menarik minat pelancong luar sekali gus meningkatkan ekonomi negeri.

"Kita berharap pelancong dari China misalnya boleh melancong ke Kelantan dengan syarat ada penerbangan terus, ini boleh mengubah keadaan ekonomi di Kelantan dengan syarat kerajaan negeri juga menyediakan kemudahan yang sesuai.

"Kalau datang sini tidak ada apa-apa tarikan dan kemudahan, maka tahun kedua mereka tak datang lagi," jelasnya.

Sementara itu dalam isu berasingan Husam menyambut baik kelulusan kerajaan untuk lantikan 12,672 orang akan dilantik menganggotai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) peringkat negeri Kelantan yang akan berkuatkuasa pada Januari 2019.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 3,960 orang merupakan lantikan tambahan daripada kerajaan persekutuan melibatkan 792 kampung.

"Kerajaan bersetuju tambahan seramai lima orang ahli MPKK selain 11 anggota yang dilantik kerajaan negeri menjadikan jumlahnya seramai 16 orang (setiap kampung).

"Ahli MPKK ini akan berperanan mengggantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKP)bdilihat akan memberi kesan perpaduan dan kerjasama khususnya di peringkat akar umbi.

"Jika ini (tambahan lantikan) diterima baik kerajaan negeri, maka semua pihak dapat berganding tenaga tanpa mengira parti bermula peringkat bawah," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS