EKSKLUSIF | Seorang pegawai kanan diplomatik yang bertugas di Singapura dilaporkan dipanggil balik dan diketepikan daripada tugasnya pada 2016 ekoran suatu kes melibatkan saudara kandung Jho Low.
Seorang sumber yang berada di Putrajaya memberitahu Malaysiakini, Low May Lin dan suaminya ditahan polis Singapura pada Mei tahun berkenaan.
Katanya pembantu Datuk Seri Najib Razak - ketika itu masih berkhidmat sebagai perdana menteri - kemudian mengarahkan pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Singapura "berbuat apa yang perlu" bagi membebaskan pasangan terbabit.
Bagaimanapun Najib memberitahu Malaysiakini beliau tidak mengeluarkan arahan seumpama itu atau tahu mengenai insiden berkenaan.
"Tidak ada sebab untuk saya melindungi Jho Low.
"Seperti yang pernah saya jelaskan kepada Malaysiakini sebelum ini, Jho Low mewakili pihak Arab, bukan saya.
"Pegawai terbabit (yang didakwa memberikan arahan kepada pegawai diplomatik berkenaan) tidak lagi berkhidmat dengan saya," katanya ketika diminta mengulas dakwaan tersebut.
Tak dapat beri komen
Menurut Najib pegawai berkenaan kini bertugas di Wisma Putra di bawah kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Sumber memberitahu pesuruhjaya tinggi terbabit juga menerima panggilan telefon daripada bapa May Lin berhubung isu tangkapan berkenaan.
Malaysiakini diberitahu usaha membebaskan May Lin bagaimanapun gagal ekoran "keengganan" pesuruhjaya tinggi terbabit menggunakan aksesnya sebagai pegawai diplomatik.
"Pesuruhjaya tinggi itu menghubungi polis Singapura yang mengesahkan mereka sedang menahan May Lin.
"Bagaimanapun pihak berkuasa berkenaan meminta pegawai terbabit supaya tidak campur tangan kerana siasatan sedang dijalankan mengikut undang-undang Singapura," kata sumber yang enggan didedahkan identitinya itu.

Selepas pesuruhjaya tinggi Malaysia itu enggan meneruskan usaha membebaskan kakak Jho Low, Putrajaya - ketika itu ditadbir BN - memanggil pulang pegawai berkenaan pada tahun berikutnya.
Semakan Malaysiakini menunujukkan pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Singapura pada ketika itu ialah Ilango Karuppannan. Beliau berkhidmat di republik terbabit dari 25 Apr 2016 hingga 30 Apr 2017.
Laman sesawang Wisma Putra pula menunjukkan Ilango adalah pegawai kedua paling singkat pernah menjadi pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Singapura.
Pegawai paling singkat bertugas sebagai pesuruhjaya tinggi Malaysia ke Singapura ialah Datuk Zulkifli Adnan yang dilantik pada 10 Okt 2017 sebelum khidmatnya ditamatkan oleh HARAPAN selepas mengalahkan BN pada 9 Mei lalu.
Kata sumber selepas diarahkan pulang Ilango ditempatkan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan langkah itu dianggap sebagai proses 'sejuk beku' ke atas pesuruhjaya tinggi terbabit.
Sementara itu Ilango yang dihubungi enggan memberi sebarang kenyataan kerana, katanya, sebagai seorang penjawat awam beliau tidak dibenarkan bercakap kepada media.
"Saya tak boleh beritahu kamu apa-apa sebab saya penjawat awam. Saya harap kamu faham," katanya.
Polis Singapura juga enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung tangkapan yang didakwa berlaku ke atas May Lin dan suaminya.
Jho Low - atau nama sebenarnya Low Taek Jho - dianggap sebagai dalang dalam skandal 1MDB dan pihak berkuasa Malaysia mendakwa dia dan bapanya atas tuduhan menyelewengkan dana negara.
Malaysiakini juga mencuba untuk menghubungi May Lin bagi mendapatkan komennya.
