Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Beberapa orang anggota parlimen HARAPAN menyuarakan rasa tidak bersetuju mengenai cadangan wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin supaya gabungan parti pemerintah itu membuat peraturan melarang wakil rakyatnya daripada menerima kurniaan darjah kebesaran Datuk semasa dalam perkhidmatan.

Bagaimanapun, MP Sungai Buloh Sivarasa Rasiah berkata masanya belum sesuai untuk membuat larangan berkenaan kerana terdapat perbezaan pendapat di antara empat parti komponen HARAPAN berhubung isu menerima pingat Datuk.

"Pakatan Harapan ada empat parti dan cukup jelas dalam isu ini terdapat perbezaan pandangan yang menyebabkan berlakunya amalan yang tidak sama.

"Pada peringkat ini, saya tidak fikir ia suatu yang dapat dilaksanakan (viable untuk larangan itu) kerana jelas terdapat berbagai pendapat dalam perkara itu," MP dari PKR itu memberitahu Malaysiakini.

Selanjutnya Sivarasa berkata gabungan parti-parti gabungan itu telah memerintah di beberapa negeri sepanjang 10 tahun yang lalu sehinggalah kemenangan Pakatan Harapan pada PRU14 lalu.

"Ia bukan sahaja berlaku sekarang, ia juga telah berlaku sepanjang 10 tahun lalu," jelas Sivarasa merujuk pengurniaan darjah kebesaran kepada pemimpin HARAPAN.

Disabotaj kejahilan, tamak kuasa

Menurutnya lagi isu ini agak rumit tetapi perlu dibincangkan kesemua parti dalam gabungan itu.

"Apa yang telah terjadi pada masa lalu... jadi jika seseorang menerima pingat lima tahun dulu dari Pulau Pinang, Selangor atau Kedah ia juga mencerminkan pendirian kamu tentang isu ini.

Kadir dalam tulisan di blognya berkata kerajaan bukan sahaja disabotaj oleh penjawat awam tertentu yang masih pekat dengan budaya BN tetapi menteri HARAPAN juga turut berbuat demikian.

"Bahaya kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN) disabotaj tidak dapat ditolak begitu sahaja dan terdapat dua sumber utama kepada ancaman ini.

"Pertama, pemimpin HARAPAN – termasuk anggota kabinet – mensabotaj kerajaan mereka sendiri kerana kejahilan, tamak kuasa dan ketiadaan fokus.

"Kedua, sabotaj oleh kakitangan awam dan eksekutif GLC/ GLIC kerana ketidakcekapan, pengaruh ideologi dan korupsi," kata Kadir (gambar) yang menulis dalam kapisiti peribadi memandangkan beliau ialah Penasihat Media dan Komunikasi di Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya, Shamsul Iskandar Md Akin berkata larangan sedemikian tidak dapat dilaksanakan tanpa mengambil pertimbangan kuasa Raja-Raja dan Yang DiPertua Negeri untuk mengurniakan pingat dan darjah kebesaran.

"Jika kamu mengatakan perlu dikeluarkan larangan, maka ia perlu dibincangkan dan disampaikan kepada ketua negeri-negeri (Raja-Raja dan Yang DiPertua Negeri).

"Kalau terdapat keperluan membuat larangan berkenaan maka ia perlu disampaikan dengan bijak kepada ketua negeri-negeri kerana mereka yang mengurniakan pingat dan darjah kebesaran," maklum beliau.

Shamsul mengakui isu ini agak sukar diselesaikan.

"Untuk saya, sangat sukar. Misalnya terdapat gesaan untuk memulangkan semula pingat Datuk yang diterima.

"Bagi saya cukup susah. Dalam hal ini apabila Tuan Yang Terutama (Yang DiPertua Negeri) Melaka menawarkan pengurniaan pingat, sudah tentu terdapat cara untuk menolaknya dan kami tidak ada pengalaman itu," katanya.

Bersempena dengan ulang tahun ke-80 Yang DiPertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob pada 13 Oktober lalu, lima menteri telah menerima anugerah Darjah Gemilang Seri Melaka yang membawa gelaran "Datuk Seri".

Mereka ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Rina Harun, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md Yusof, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa.

Baru lima bulan berkhidmat sudah dapat Datuk

Memandangkan mereka baru berkhidmat selama lima bulan, para pengkritik mempersoalkan jika mereka layak mendapat penghormatan darjah kebesaran negeri itu.

Diminta mengulas hal ini, Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Mohd Yunus memaklumkan kedua-dua penerima pingat Datuk Seri itu, Dzulkefly dan Mujahid pernah membuat sumbangan semasa menjadi anggota parti pembangkang.

"Kami tidak meletakkan satu garis panduan yang jelas dalam perkara ini sebab kami serahkan kepada ahli-ahli kami untuk menghormati siapa yang ingin menghargai mereka.

"Dan apabila mereka hendak menerima anugerah, mereka perlu periksa diri mereka sendiri apakah sumbangan yang telah diberikan, apakah mereka benar-benar layak untuk menerimanya?

"Saya percaya mereka yang menerima Datuk-ship memang telah memberikan sumbangan yang besar kepada negara samaada ketika bersama dengan kerajaan atau sebelum. So dari segi AMANAH tak ada apa yang kami pertikaikan antara satu-sama lain," kata MP Hulu Langat itu.

Antara parti-parti HARAPAN, DAP mempunyai dasar kurniaan pingat dan darjah kebesaran hanya boleh diterima selepas bersara daripada perkhidmatan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS