Paling Popular
Terkini

Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mencadangkan kerajaan mewajibkan pembelajaran jawi di sekolah sebagai cara menghidupkan semula tulisan itu.

Kata Zainuddin dalam keadaan sekarang beliau tidak yakin tulisan itu - yang pernah menjadi alat komunikasi terpenting di kalangan rakyat negara ini - akan dapat dihidupkan semula.

“Setakat letak (tulisan jawi) pada papan-papan tanda nama jalan, menganjurkan seminar untuk berbincang tentang bagaimana nak hidupkan jawi - semua itu hanya membuang masa," katanya.

Beliau yang juga bekas ketua pengarang Utusan Melayu (M) Bhd berkata demikian semasa berucap di majlis yang diadakan di Universiti Islam Malaysia di Cyberjaya, Selangor hari ini.

Pada majlis itu Zainuddin menyerahkan 558 naskhah buku koleksi peribadinya kepada universiti terbabit.

“Sampailah ke hari ini, saya yakin tulisan jawi tak akan dapat dihidupkan semula jika tidak kembali diajar sebagai satu mata pelajaran wajib di sekolah-sekolah," katanya.

Kenyataan itu dibuat kira-kira tiga bulan selepas beliau menyarankan kepada kerajaan supaya pusat tahfiz tidak berdaftar ditutup.

Salahkan Utusan Melayu

Beliau turut menyarankan agar tulisan jawi tidak dipromosikan sebagai 'tulisan Islam’ supaya tidak menimbulkan prejudis di kalangan orang bukan Melayu daripada mempelajari tulisan itu.

“Kita mahu hidupkan semula tulisan jawi sebagai satu tugas nasional, jadi tak payahlah mainkan sentimen ini (agama) dalam soal ini.

“Biarlah, lama-lama mereka (bukan Melayu) akan baca (tulisan jawi),” tambahnya lagi.

Untuk rekod Utusan Melayu ialah antara akhbar terawal yang diterbitkan di negara ini dan ia menggunakan tulisan jawi.

Zainuddin menyerahkan bukunya kepada Presiden Universiti Islam Malaysia Tan Sri Dr Yusof Noor

Bagaimanapun penerbitannya dihentikan selepas gagal mendapat permintaan yang mencukupi.

Zainuddin juga mendakwa akhbar Utusan Melayu bersama gerakan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50) merupakan kumpulan yang memainkan peranan penting menghapuskan penggunaan tulisan jawi.

“Utusan Melayu menyokong Gagasan Melayu Raya bagi menyatukan Indonesia dan Malaya.

“Mereka meminta guru-guru di sekolah mengajar dengan hanya satu tulisan saja iaitu tulisan rumi.

“Sentimen inilah (penyatuan Indonesia-Malaya) yang telah mengorbankan tulisan jawi,” ulas Zainuddin lagi.

Lihat Komen
ADS