Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Bekas menteri: Jangan lagi tolak ansur dengan pemandu teksi

Bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin mahu kerajaan tidak lagi 'bertolak ansur’ dengan pemandu teksi memandangkan sudah begitu banyak rungutan yang diterima daripada orang ramai tentang perkhidmatan itu.

Katanya, perkhidmatan teksi di negara ini perlu ditambah baik secara keseluruhan dan tidak boleh ada istilah 'setengah baik, setengah tak baik’.

“Apa yang terjadi pada Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) baru-baru ini diharapkan dapat menjadi satu dorongan besar agar kerajaan dapat betulkan masalah teksi yang dah bertahun-tahun kita hadapi tanpa ada penyelesaian.

“Orang merungut bukan sahaja kerana sikap biadap (pemandu teksi), tetapi juga dengan (kenderaan) teksi yang dah lama, dan pelbagai rungutan lain.

“Tak boleh begitu, tak boleh ada teksi yang setengah baik dan setengah tak baik, kena 100 peratus baik. Saya harap kerajaan dapat selesaikan masalah ini untuk sekali dan selamanya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan koleksi 558 naskhah bukunya di Universiti Islam Malaysia Cyberjaya, Selangor, hari ini.

Zainuddin diminta mengulas komen Ketua Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan yang mendakwa kerajaan melayan pemandu teksi seperti sampah setelah berjaya membentuk kerajaan baharu.

Dakwaan Zahida (foto, atas) itu dipercayai merujuk beberapa protes oleh pemandu teksi yang mahu pihak kerajaan melakukan tindakan segera bagi menyelesaikan kemelut 'ketidaseimbangan persaingan’ antara pemandu teksi dan penyedia perkhidmatan e-hailing.

Terdahulu, tindakan kira-kira 10 pemandu teksi yang mengeluarkan kata-kata kesat dalam satu sesi dialog yang diadakan bersama perdana menteri di Langkawi telah mendapat kritikan daripada banyak pihak.

Sesi dialog yang dihadiri hampir 200 pemandu teksi yang mendakwa pendapatan mereka terjejas ekoran perkhidmatan Grab yang dikatakan ‘mencuri’ pelanggan mereka, seeprti yang dilaporkan Berita Harian.

Bagaimanapun, semalam,Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak berniat menghapuskan e-hailing.

Bagaimanapun, katanya, langkah akan dilakukan bagi memastikan perkhidmatan e-hailing beroperasi tanpa sebarang kelebihan berbanding pengangkutan teksi.

“Kementerian telah menetapkan syarat-syarat yang sama seperti pengusaha teksi kepada syarikat e-hailing untuk mereka beroperasi seperti pendaftaran dan pemeriksaan kenderaan.

“Namun, perkara itu dilaksanakan secara berperingkat memandangkan jumlah pengusaha e-hailing di negara ini telah mencecah lebih 600,000 orang,” katanya.


Lihat Komen
ADS