Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Guan Eng jangan lupa pernah menangis minta bantuan pusat'

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengingatkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di saat beliau menangis meminta bantuan kerajaan persekutuan ketika mentadbir Pulau Pinang.

"Pulau pinang pun sampai menangis dia telefon Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (bekas timbalan perdana menteri), kita taklah sampai menangis minta bantuan daripada kerajaan pusat.

"Dia sampai menangis, itu benda yang dia kena ingat. Asas yang paling penting adalah asas federalisme.

"Semua negeri di Malaysia bergantung kepada peruntukan kerajaan persekutuan, tak ada negeri yang boleh berdiri sendiri termasuklah negeri Selangor yang kaya itu pun ada pinjaman dengan kerajaan persekutuan," jelasnya.

Beliau merujuk tindakan Lim yang dilaporkan menelefon Zahid pada pukul tiga pagi bagi meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika banjir besar melanda Pulau Pinang pada November 2017.

Mohd Amar membalas kenyataan Lim - kini menteri kewangan - di Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangannya tanpa bantuan Putrajaya.

Lim berkata demikian ketika menjawab soalan Anggota Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan berkenaan pendirian kerajaan jika kerajaan negeri ingin meneruskan projek Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dengan inisiatif sendiri.

Lim berkata pihaknya menunggu surat rasmi kerajaan negeri berhubung perkara itu, tetapi pada masa sama terfikir "bagaimana Kelantan boleh melaksanakannya apabila gaji (kakitangan awam di negeri itu) pun tak mampu bayar."

Mohd Amar berkata kenyataan itu jelas berniat jahat dan timbul daripada sikap Lim yang anti terhadap negeri yang ditabdir PAS.

"Dia ini kita nampak dia anti-Kelantan dan Terengganu sebab diperintah oleh PAS. Ada benda yang dia tak puas hati dengan kita. Boleh jadi dia anti-Islam atau Melayu, kita tak tahulah.

Ini semua tak sepatutnya berlaku sebab rekod semua (peruntukan persekutuan kepada negeri) ada dengan Majlis Kewangan Negara. Tetapi bila dia sebut Kelantan saja secara spesifik ada niat jahat dalam dirinya," katanya yang juga naib presiden PAS.

Beliau juga sekali lagi mengingatkan janji Pakatan Harapan berhubung pemberian royalti kepada negeri pengeluar minyak, termasuk Kelantan, yang kini belum selesai.

"Royalti itu tidak kurang daripada RM700 juta setahun.

"Kalau kerajaan pusat boleh bagi royalti mengikut perjanjian sebenar, maka tak berbangkitlah isu kerajaan negeri memerlukan bantuan pusat," katanya lagi.


Lihat Komen
ADS