Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hari ini mengumumkan 16 jenis barangan bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan bersempena sambutan Deepavali pada 6 Nov ini.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata skim kawalan harga itu akan dilaksanakan dari 3 hingga 9 Nov menurut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Antara barangan terbabit ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan dan import bertulang, daging biri-biri import bertulang, telur ayam, tomato, kelapa biji dan parut, bawang besar, ubi kentang dan kacang dal, katanya pada sidang media, di Putrajaya.
Terdahulu beliau menghadiri perhimpunnan bulanan KPDNHEP. Hadir sama ialah Timbalan Menteri berkenaan Chong Chieng Jen dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Jamil Salleh.
Mengulas lanjut, beliau berkata penetapan harga barang kawalan terbabit dibuat bersandarkan harga-harga di 91 buah daerah di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu di Labuan.
Beliau juga berkata ada barangan yang mencatatkan sedikit kenaikan harga namun bukan disebabkan oleh Cukai Jualan dan Perkhidmatan.
Sebaliknya kata Saifuddin kenaikan berlaku disebabkan nilai tukaran asing serta faktor penawaran dan permintaan seperti kacang dal yang diimport serta telur yang bergantung pada penawaran.
Pada masa sama beliau turut mengingatkan peniaga agar mematuhi skim kawalan harga berkenaan atau berdepan tindakan undang-undang.
Bagi kesalahan menjual melebihi harga maksimum, individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu pula boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun sehingga RM5,000 bagi individu, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
- Bernama
