Paling Popular
Terkini

ULASAN | Apabila parlimen dimaklumkan bahawa kerajaan Kelantan sememangnya tidak mempunyai kemampuan untuk membayar gaji kakitangannya (dengan maksud tanpa bantuan daripada kerajaan pusat), maka ia adalah merupakan satu hakikat yang tidak seharusnya dinafikan.

Kelantan semasa pembentangan belanjawan 2018 memperlihatkan wujudnya perbelanjaan defisit sebanyak RM41.74 juta, sedangkan perbelanjaan mengurus melibatkan RM738.44 juta berbanding perolehan hasil RM636.98 juta.

Tunggakan hutang kerajaan Kelantan kepada pusat - berdasarkan Laporan Audit 2013 - berjumlah RM247.16 juta.

Bagaimanapun sidang parlimen pada 15 Mac 2016 dimaklumkan bahawa jumlah hutang Kelantan kepada pusat berjumlah RM1.3 bilion.

Namun begitu, berdasarkan kenyataan akhbar menteri kewangan pada 8 September lalu, jumlah tunggakkan hutang kerajaan Kelantan yang direkodkan sehingga 30 Jun ialah RM434.5 juta.

Berdasarkan keadaan ini, kemampuan dan keberkesanan kerajaan Kelantan mengurus kewangan negeri adalah sesuatu yang boleh dipersoalkan.

Hal itu kerana ia melanggar prinsip keberkesanan kos dan prinsip pulangan berasaskan pelaburan (ROI).

Amat bergantung pada pusat

Realiti ini akan menyebabkan Kelantan terus berhempas-pulas untuk keluar daripada kekangan perbelanjaan defisit untuk tahun-tahun yang akan datang.

Hakikatnya kerajaan Kelantan tidak boleh membandingkan bantuan pusat yang disalurkan kepada Kelantan sebagai usaha perlu untuk memenuhi tanggungjawab terhadap kerajaan negeri secara madatori dengan meletakkan penanda aras bahawa, negeri-negeri lain juga mendapat bantuan kewangan yang sama daripada Putrajaya.

Realitinya, Kelantan harus menerima hakikat bahawa kedudukan kewangan kerajaan negeri agak lemah sehinggakan mereka diberikan peruntukan paling besar bagi Bantuan Kewangan Defisit dan Bantuan Kewangan Pendahuluan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM913 juta.

Kenyataan daripada Kementerian Kewangan menyebut:

“Selain daripada pemberian yang biasa disalurkan oleh kerajaan persekutuan adalah pemberian kepada negeri-negeri yang menghadapi kekurangan wang dalam akaun mengurus (defisit).

"Pemberian tersebut diberikan kepada kerajaan negeri yang mengalami defisit yang mana hasil kerajaan negeri tidak mencukupi untuk membiayai perbelanjaan mengurus seperti emolumen, sewa, utiliti dan perbelanjaan operasi yang lain.

"Kerajaan Kelantan merupakan penerima Pemberian Defisit yang tertinggi antara semua negeri berjumlah RM 363 juta”.

Gambar fail

Berdasarkan kedudukan kewangan Kelantan yang kurang dinamik serta amat bergantung kepada bantuan persekutuan, ia mendedahkan realiti pengurusan kewangan negeri itu kepada potensi krisis defisit secara berpanjangan.

Hal ini disebabkan oleh pertumbuhan pendapatan yang amat lemah, ditambah pula dengan strategi pelaburan kurang berkesan, mengakibatkan prestasi kewangan mereka kehilangan pemacuan prestasi yang membawa kepada situasi kehilangan nilai tambah ekonomi.

Apakah dengan wujudnya situasi ketiadaan keupayaan kewangan yang berpotensi untuk berlaku secara berterusan memungkinkan Kelantan untuk bertindak meneruskan pelaksanaan Projek Rangkaian Keret Api Pantai Timur (ECRL) seperti disuarakan oleh anggota parlimen PAS di Dewan Rakyat?

Bagaimana pula dengan status kedudukan Lebuh Raya Rakyat yang dilancar pada Mei 2012 dengan anggaran kos RM854 juta dan sepanjang 30.5 kilometer itu?

Mengikut Menteri Besar Kelantan lebuh raya tersebut akan siap sepenuhnya pada Disember 2017. Adakah sebenarnya ia telah menjadi kenyataan?


DR KAMARUDIN MUSA ialah pensyarah Fakulti Pengurusan Dan Ekonomi Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tulisan ini tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS