Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kematian Khashoggi cukup mengganggu, kata Najib
Diterbitkan:  Oct 23, 2018 9:57 PM
Dikemaskini: 2:25 PM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kejadian pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi sebagai tragis dan berharap kerajaan Arab Saudi akan membantu siasatan kes berkenaan.

"Saya cukup prihatin dan merasa terganggu dengan kematian wartawas tersebut di pejabat konsulat di Istanbul, Turki dan berharap kerajaan Saudi akan memberikan dokongan penuh bagi siasatan," katanya dalam suatu hantaran Facebook hari ini.

Khashoggi meninggal dunia pada 2 Oktober lalu apabila beliau pergi ke pejabat konsulat Saudi di Istanbul bagi mengambil dokumen berkaitan perkahwinannya.

Pihak berkuasa Turki mendakwa Khashoggi dirancang oleh pegawai Saudi untuk masuk ke pejabat konsulat sebelum dibunuh serta mayatnya dikerat-kerat dan wajahnya dicacatkan.

Pihak berkuasa Saudi pada awalnya menafikan tahu mengenai kematian Khashoggi tetapi kemudian mendakwa beliau terbunuh dalam pergaduhan di pejabat konsulat itu.

Kejadian itu mencetuskan kritikan pihak antarabangsa dan krisis diplomatik terhadap negara itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pembunuhan wartawan Jamal Khashoggi merupakan satu kezaliman yang amat sangat dan tidak boleh diterima.

Beliau berkata negara ini tidak menyokong perbuatan membunuh seorang pengkritik kerajaan.

“Kita ada orang yang kita tidak suka, tetapi kita tidak boleh bunuh dia sebab tidak suka dia. Nasib baik, pasal saya dulu pun orang tidak suka. Kalau kita ada sistem macam sistem Arab mungkin saya tidak boleh cakap hari ini.

“Alhamdulillah di negara kita tiada kezaliman macam itu,” katanya dipetik laporan Bernama semalam.

Pembatalan Pusat Keamanan Raja Salman

Sementara itu, laporan Sky News memetik sumber pihak berkuasa yang menyatakan mayat Khasoggi ditemui di kawasan taman kediaman konsul umum Arab Saudi.

Laporan itu disiarkan selepas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan meminta Riyadh mendedahkan lokasi mayat Khashoggi.

Dalam hal yang lain, Najib menegaskan kerjasama dengan Arab Saudi bagi menubuhkan Pusat Keamanan Raja Salman perlu diteruskan kerana ia akan membantu usaha membanteras ektremisme dan keganasan.

"Pusat itu bertujuan untuk keselamatan dan keamanan serantau, suatu aspek yang kita banggakan, ia diuruskan dan beroperasi dari sini.

"Saya kesal dengan pembatalannya kerana saya percaya ia baik untuk Malaysia. Jika ada apa-apa yang bertentangan dengan kepentingan kami, kami masih boleh membuat campur tangan yang perlu," katanya yang memaklumkan pembatalan itu berlaku lama sebelum pembunuhan Khashoggi.

Projek tersebut dicadangkan oleh Raja Salman Abdulaziz Al Saud ketika lawatan rasmi ke Malaysia pada tahun lalu. Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengumumkan pembatalannya Ogos lalu.

Lihat Komen
ADS