Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Adalah sangat tidak munasabah, di waktu ini, untuk menyebutkan yang Anwar Ibrahim hanya akan diangkat sebagai perdana menteri “sekiranya rakyat mahu.” Bagaimanakah lagi yang boleh dijadikan kayu ukur kehendak dan kemahuan rakyat untuk menerima Anwar sebagai PM?

Tidak seperti Dr Mahathir Mohamad, Anwar tidak akan menjadi PM dua kali. Memandangkan pada usianya kini, kesempatan Anwar untuk menjadi PM adalah hanya sekali. Sewaktu Dr Mahathir meletakkan jawatannya kali pertama sebagai PM, umurnya waktu itu adalah sekitar umur Anwar sekarang.

Anwar disingkirkan sebagai TPM pada umurnya awal 50-an. Sejarah tidak boleh ditarik kembali, dan sejak itu beliau berjuang membentuk parti yang kecil selain usaha membentuk gabungan pembangkang yang baharu. Daripada teras yang turut dibina Anwar itu, Dr Mahathir akhirnya telah menggunakannya sebagai kereta kebal menumbangkan BN dalam pilihan raya umum (PRU) lalu.

Memang Dr Mahathir punya peranan utama di dalam menumbangkan BN, tetapi sumbangan Anwar selama dua dekad sebelum ini di dalam usaha melawan BN tidak boleh dianggap remeh sebagai hal yang kedua penting. Kini Dr Mahathir sendiri menggunakan kata “reformasi” sebagai mantra politik dan ekonominya sepertimana yang kita dengar di dalam pembentangan kajian separuh penggal RMK-11 di parlimen—istilah atau slogan yang telah dipakai Anwar sejak 1998.

Memang istilah seperti “reformasi” bukan milik sesiapa. Tetapi apa yang saya maksudkan bukanlah istilah itu sendiri, namun perjuangan dan struggle di sebalik istilah berkenaan. Dalam kata mudah, Dr Mahathirlah yang menumpang arus yang telah turut dibentuk oleh Anwar. Bukan sebaliknya.

Reformasi bukan sahaja perjuangan menggantikan seorang pemimpin kepada seseorang yang lain. Reformasi juga satu perjuangan untuk meningkatkan—yang pertama-tamanya—kualiti kepemimpinan itu sendiri. Tidak ada ertinya reformasi kalau kualiti kepimpinan semakin dan semakin merosot. Bahkan tidak ada ertinya juga reformasi itu kalau kita mengekalkan kualiti kepemimpinan yang pada tahap yang sama sahaja.

Kita mahu setiap pemimpin mempunyai ketrampilan dan kualiti yang cemerlang. Kualiti kepimpinan yang cemerlang itu pula wajar bermula dengan gagasan yang juga hebat. Corak kepimpinan lama Malaysia, dengan melantik pembodek sebagai menteri sudah wajar dihentikan dan bukan masanya lagi.

Dalam sesuatu perubahan rejim, sudah tentu ada masalah. Reformasi di Indonesia pada 1998 tidak hanya terjadi seperti majlis potong kek hari jadi yang serba indah. Di ketika itu, cabaran Indonesia lebih getir sehingga ada wilayah yang menuntut kemerdekaan dan pembebasan daripada republik berkenaan.

Walaupun Reformasi 1998 Indonesia tidak mengakibatkan Indonesia runtuh sebagai sebuah negara, tetapi tuntutan dari Aceh, Timor Timur dan beberapa wilayah lain untuk keluar dari Indonesia sangat kuat. Aceh dapat diselamatkan, tetapi Timor Timur lolos sehingga membentuk negara baharu dan merdeka daripada kesatuan Indonesia.

Membangunkan sistem hancur

Lebih rumit apabila banyak sistem yang sudah hancur perlu dibangunkan semula. Sistem seperti badan kehakiman, kepolisan dan ketenteraan tidak boleh dibaiki dalam masa satu malam. Kebobrokan dalamnya sudah menjadi amalan, dan untuk mengembalikan budaya yang sejati sepertimana yang sewajarnya tentulah mengambil masa. Orang lama di dalam politik harus ditapis kembali dan mereka yang sudah rosak perlu dinyahketepikan. Bukan sebaliknya.

Sekurang-kurangnya hari ini Indonesia mempunyai sistem yang lebih diyakini. Demokrasi di negara itu juga jauh semakin baik. Masalah memang tetap wujud, tetapi tidaklah sebenar dan seburuk sepertimana yang dihadapi sebelum era Reformasi.

Kalau pun kita mahu segera belajar dari Indonesia, antara perkara utama yang wajar diperbaiki ialah tingkat kebebasan media. Kita tidak mahu daripada media yang membodek BN kepada media yang membodek pemerintah semasa.

Lihat sahaja bagaimana perubahan sikap mendadak oleh TV3, yang kini dilihat tidak mempunyai pandangan bebas dan kritis, atau mungkin juga berita serta program yang berkualiti selain menjadikan Pakatan Harapan semata-mata ‘berhala’ baharu yang perlu disembah.

Dalam masa sama, media seperti Utusan Malaysia juga tidak berubah. Selepas 9 Mei, badan media itu hanya membuat sedikit penyesuaian. Ada harinya mereka membodek, dan ada harinya mereka memuja kerajaan. Perubahan dalam maksud kebebasan media memang tidak boleh dicapai dalam masa setahun dua ini kerana pengamal media, seperti wartawan sedia ada adalah di kalangan mereka yang mempunyai set pemikiran dan kefahaman lapuk terhadap demokrasi.

Perlu sedikit masa untuk generasi baharu belajar tentang etika dan hukum-hukum media yang lebih matang dan terhormat. Bagi tujuan itu, hal pertama yang harus disedari ialah media juga mempunyai maruahnya sendiri dan tidak boleh menjadi pak turut atau pelacur politik sebagai jalan mudah untuk mendapat perhatian daripada penguasa dan orang politik.

Peningkatan kualiti itu hanya boleh dicapai sekiranya kerajaan memberikan kebebasan dan sanggup menjamin demokrasi. Di situ sahaja formula bagi akhirnya semua ideologi melebur. Tidak kiralah dari seorang liberal atau sosialis—bahkan faham perkauman sekalipun—akan lebur di dalam ruang demorkasi dan keterbukaan. Dan di situ jugalah kehidupan baharu bagi Malaysia yang melampaui mana-mana pemimpin, sama ada Anwar mahupun Dr Mahathir.

Jangan silap. Apabila saya sebutkan “melampaui pemimpin” bukan pula bererti mereka akan dilupakan. Sebaliknya andai mereka dapat menjamin ruang kebebasan dan demokrasi itu sebagai hukum semula jadi kepada perkembangan tamadun manusia, maka merekalah yang akan dihormati dan harum namanya dalam sejarah bangsa. Buat selama-lamanya. Lebih lama daripada hayat hidup mereka sendiri.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.


Lihat Komen
ADS