Malaysiakini BERITA

Mengapa Zahid kena bercuti?

Al-Abror Mohd Yusuf  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PULASAN | Apabila ada pensyarah universiti menulis mengenai politik negara dengan bersahaja dan bebas, dan tidak pula mengambil kira perasaan orang lain, ia memang agak janggal.

Secara politik ia menjadi satu lagi petanda bahawa negara yang tercinta ini sedang berubah ke arah yang tidak menentu selepas 9 Mei 2018.

Selama lebih 60 tahun Malaysia dipandu dengan begitu baik dan terkawal di bawah BN, kini Pakatan Harapan (HARAPAN) sedang memporak-perandakan masyarakat dengan keterbukaan sikapnya.

Tugas hakiki seorang pensyarah bukanlah menyuruh atau mendorong orang supaya berfikir, sebaliknya memandu masyarakat supaya kekal mendengar kata.

Kata-kata itu pula mestilah daripada orang atas yang serba tahu. Semakin tinggi kedudukan seseorang semakin banyaklah tahu yang ada dalam kepalanya. Sepatutnya.

Justeru memang wajar pensyarah itu dipanggil oleh pentadbiran universiti dan ditegur supaya tidak menulis sangat. Kalau masih mahu menulis pun, biarlah hal-hal yang lebih penting daripada mengajak masyarakat berfikir.

Mencipta hidangan berbentuk kipas menggunakan tempoyak, misalnya, atau mementaskan drama tentang perlunya orang Melayu menjadi penjilat kepada pembesar-pembesar negara dan negeri adalah contoh aktiviti yang mustahak digerakkan oleh cendekiawan di negara ini.

Berani sindir pemimpin

Rindu benar kita kepada aktiviti kreatif yang luar biasa seperti membentuk logo 1Malaysia menggunakan gula-gula itu, atau bergotong-royong memasak bubur lambuk untuk mencatat nama dalam buku rekod Malaysia itu.

Apa hak pensyarah itu menulis dan mengajak orang berfikir?

Jika kemandulan fikrah pensyarah itu belum cukup meresahkan, lihat pula bagaimana anggota Umno tergamak bersuara menyuruh presiden mereka bercuti sehari dua ini.

Itu adalah satu lagi natijah daripada kegagalan HARAPAN mengawal tatasusila orang Melayu pascapilihan raya umum ke-14 lalu.

Tanpa Umno berkuasa, orang Melayu sudah berani menyindir pemimpin sendiri.

Justeru kita dapat faham sangat mengapa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan melayan soalan wartawan yang bertanya mengenai saranan supaya beliau bercuti.

Ahmad Zahid seorang pejuang. Pantang untuk si pemberani bercuti. Pedulilah kalau ada 145 kes di mahkamah pun, tanggungjawab mesti dilunaskan.

Tidak ada apa-apa yang perlu diaibkan dengan kes di mahkamah kerana orang Melayu itu memang terlalu istimewa dan unik.

Keadaan itu memang difahami majoriti orang Melayu sejak sekian lama.

Orang Melayu mesti menyokong bangsa sendiri walau apa pun yang dilakukan. Kalau yang dipertikaikan itu seorang pemimpin, lagilah besar beban tanggungjawab masyarakat mempertahankan wibawa individu terbabit.

Salah atau benar - itu nombor dua. Yang penting, kalau seseorang itu Melayu, maka Melayu yang lain mesti bersatu membela.

Lompat, tapi bukan menari

Itu antara jasa besar Umno selama ini, sehinggalah HARAPAN memecahkan tradisi berkenaan pada 9 Mei 2018. Sejak itu haru-biru orang Melayu.

Apa hak Datuk Mohamad Hasan bercakap tentang idea supaya Ahmad Zahid bercuti?

Pantang besar untuk seorang pemimpin hebat seperti anggota parlimen Bagan Datuk itu berundur setapak.

Kewajiban Ahmad Zahid bukan bergerak ke belakang tapi kalau boleh biar melompat dua tiga depa ke depan.

Cuma untuk mengharapkan beliau lincah menari ke kiri dan ke kanan seperti Tan Sri Irwan Serigar Abdullah agak keterlaluanlah. Bukan semua orang besar dalam negara ini memiliki bakat sedemikian rupa.

Semalam Ketua Pemuda Umno pula secara celupar membangkitkan idea perlunya presiden Umno bercuti.

Sebenarnya Ahmad Zahid bukanlah asing sangat kepada cuti. Dalam seminggu tentu ada hari tertentu untuk beliau melupakan seketika segala sepak terajang dalam partinya.

Tidak cukupkah cuti itu wahai Asyraf Wajdi Dusuki?

Apa hak you bangkitkan soal keperluan presiden Umno bercuti?

Pemimpin Umno - seperti Tok Mat dan Asyraf Wajdi - wajib belajar adab berpolitik daripada PAS.

Parti tersebut sesuai dijadikan suri teladan untuk orang seperti Tok Mat dan Asyraf Wajdi melaksanakan tugas masing-masing dalam Umno.

Pernahkah kita melihat mana-mana orang PAS memberi cadangan kepada Tuan Guru Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya bercuti?

Mungkin ada tetapi ia tidak begitu ketara. Kalau ada pun, mungkin dibuat secara tertutup dan PAS sangat mahir menangani desakan seumpama itu.

Mengadakan rehlah di Tasik Kenyir, misalnya, dapat mewujudkan kesatuan fikrah agar seluruh pemimpin dan anggota parti sentiasa walak kepada pemimpin.

Itulah yang dipelajari Ahmad Zahid sejak berkawan dengan PAS rasanya. Cuma tidak ramai yang memahami. Cuma kaedah PAS dan Ahmad Zahid mempertikaikan hak seseorang bertanya tentang cuti itu adalah sedikit perbezaan.

Kalau dalam kalangan PAS, mereka tidak akan bertanya: "Apa hak you cakap soal cuti?"

Orang PAS ada cara tersendiri. Orang PAS akan kata: "Apa hak enta mintak ana bercuti?


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang tidak menggunakan 'pembaris' semasa menulis.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.