Kenyataan Menteri Luar Arab Saudi, Adel Ahmed Al-Jubeir pada 2016 bahawa kemasukan berbilion ringgit dalam akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan 'sumbangan tulen' daripada kerajaannya, kembali menjadi tumpuan susulan lawatannya selama tiga hari ke Malaysia.
Adel dikatakan membuat "pusingan U" selepas Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah mendedahkan bahawa rakan sejawatannya itu menafikan wang tersebut berasal daripada kerajaan Arab Saudi..
Dalam temu bual yang diterbitkan di New York Times pada 5 Februari 2016, Adel berkata beliau tidak fikir wang dalam akaun Najib itu datang dari kerajaan Arab Saudi atau derma politik.
"Ia adalah dari warga Arab Saudi, saya percaya, dan dana itu pergi ke pelaburan di Malaysia," katanya.
Bagaimanapun, dua bulan kemudian, selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Anifah Aman di Istanbul pada 14 April 2016, Adel (gambar) menjelaskannya sebagai "sumbangan tulen".
"Kami sedar derma itu dan ia adalah tulen dengan tiada apa yang diharapkan sebagai balasannya.
"Kami juga menyedari sepenuhnya bahawa Peguam Negara Malaysia telah menyiasat perkara itu dengan teliti dan mendapati tidak ada salah laku. Jadi setakat yang kami tahu, perkara itu telah ditutup," katanya.
Resit dari Arab Saudi
Di pihak Najib, beliau mendakwa dana yang dipindahkan kepadanya berasal daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi.
Pihak penyiasat mendapati AS$80 juta berasal daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi dan Adel dalam kenyataannya tidak pernah menjelaskan mengenai perkara itu.
Najib sering menjadikan resit daripada Arab Saudi untuk menyimpulkan bahawa jumlah sebanyak AS$ 971 juta yang beliau terima - di mana penyiasat percaya dari 1MDB - adalah berasal dari Arab Saudi.
Ini termasuk AS$ 681 juta atau bersamaan RM2.6 bilion yang diketahui umum seperti didedahkan oleh Sarawak Report dan Wall Street Journal pada bulan Julai 2015.
Wang itu berasal daripada Tanore Finance Corporation, yang didakwa Najib berdasarkan surat yang didedahkannya datang dari Putera Abdulaziz Al Saud.
Namun surat tersebut tidak membuktikan pemilikannya, dan Jabatan Keadilan AS (AS) mendapati bahawa Tanore dimiliki Eric Tan Kim Loong, seorang sekutu dan proksi Low Taek Jho (gambar).

Ia juga didapati wang berkenaan berasal daripada bon untuk usaha sama 1MDB dengan Syarikat Pelaburan Malaysia Abu Dhabi (ADMIC).
Selain wang yang diterima daripada Kementerian Kewangan Arab Saudi yang masih menjadi misteri - yang pada masa ini tidak disiasat - beberapa personaliti dari negara itu juga terlibat dalam pengubahan wang haram daripada dana 1MDB.
DOJ menyebut mengenai seorang "putera Saudi" yang juga digambarkan sebagai pengasas bersama PetroSaudi International.
Pengasas bersama PetroSaudi ialah Tarek Obaid dan Putera Faisal Bin Turki.
Menurut DOJ dan laporan antarabangsa, putera Saudi itu bertindak sebagai perantara untuk menyalurkan sekurang-kurangnya AS$ 120 juta dana, yang berasal daripada usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi, kepada Najib.
Untuk menyoal putera Saudi ini memerlukan kerjasama daripada kerajaan Arab Saudi.
Sementara itu, AS$ 170 juta yang berasal dari bon tenaga 1MDB juga masuk ke akaun bank Najib melalui Blackstone Asia Real Estate Partner Ltd selaku perantara yang juga dimiliki oleh Tan.
Jumlahnya adalah bersamaan AS$ 971 juta, atau lebih RM4 bilion berdasarkan kadar pertukaran semasa.
Najib juga berulang kali mendakwa bahawa beliau telah mengembalikan wang itu, tetapi DOJ mendapati "wang yang dikembalikan" itu antara lain, digunakan untuk membeli berlian bernilai AS $ 27.3 juta untuk isteri Najib, Rosmah Mansor.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan adalah tidak penting sama ada Adel melakukan 'flip flop'.
Perkara penting adalah sama ada kerajaan Arab Saudi akan melanjutkan kerjasamanya untuk menyelesaikan elemen Saudi dalam skandal 1MDB.
Buat masa ini, Saifuddin berkata Adel telah menyatakan bahawa kerajaannya bersedia memberikan kerjasama.
