Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mansuh hukuman mati: K'jaan perlu didik orang awam

Hasrat kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mendapat pujian daripada pertubuhan hak asasi dan menjadikan Malaysia disebut-sebut di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, kerajaan juga berdepan dengan beberapa bantahan, terutamanya daripada kerluarga mangsa, yang sebelum ini dilapor dalam media berbahasa Cina.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menggesa agar kerajaan merundingkan lagi perkara itu.

Salah satu keluarga mangsa yang dilapor media adalah Chee Ah Sau, yang merupakan ayah kepada gadis 25 tahun, Chee Gaik Yap yang dirogol dan dibunuh pada 2006.

Ah Sau sebelum ini pernah cuba terjun dari kompleks mahkamah di Alor Setar, Kedah selepas Mahkamah Tinggi membebaskan suspek, Shahril Jaafar, yang merupakan anak kepada individu bergelar 'datuk'. Mahkamah mengambil keputusan itu atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan kewujudan prima facie (bukti munsabah).

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan tahun lalu mendapati Shahril bersalah dan akhirnya dijatuhkan hukuman gantung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong sebelum ini berkata kerajaan komited untuk memansuhkan sepenuhnya hukuman mati.

Liew juga mengumumkan morotarium (penggantungan sementara) ke atas semua hukuman mati.

"Saya boleh faham bahawa bagi keluarga mangsa, ia sangat menyakitkan, tapi menghapuskan hukuman mati sepenuhnya adalah hasrat kerajaan.

"Kita tidak boleh buat separuh-separuh, seperti menghapuskan hukuman mati untuk satu kesalahan namun mengekalkannya untuk kesalahan lain. Kita mahu hapuskan semua hukuman mati," kata Liew.

Terdapat pelbagai kajian menunjukkan hukuman mati tidak mempunyai kesan secara langsung dalam menghalang jenayah namun isu yang sering dikaitkan adalah berkaitan emosi.

Keputusan undian Malaysiakini

Bagi mengukur sentimen berhubung perkara ini, Malaysiakini mengadakan undian di Facebook berbahasa Melayu, Inggeris, dan Cina. Keputusan undian itu menunjukkan ramai yang tidak bersetuju dengan penghapusan hukuman mati.

Kira-kira 20,600 responden menyertai undian itu bagi ketiga-tiga Facebook Malaysiakini dengan penyertaan paling ketara daripada masyarakat Cina, yang merupakan separuh daripada pengundi yang terlibat.

Undian itu mendapati pembaca Malaysiakini berbahasa Melayu (kira-kira 5,700 responden) dan Cina (kira-kira 9,000 responden), masing-masing 82 peratus daripadanya mahu mengekalkan hukuman mati.

Bagi pembaca Malaysiakini berbahasa Inggeris pula, 69 peratus daripada 5,900 responden yang tidak bersetuju untuk hukuman mati dihapuskan.

 

 

Penasihat Lawyers For Liberty, N Surendran, yang banyak terlibat dalam kes hukuman mati, berkata kerajaan perlu menunjukkan kepimpinan moral.

"Perkara biasa apabila undian pendapat menunjukkan majoriti menyokong hukuman mati. Ia merupakan perkara sama yang terjadi di kebanyakan negara yang akhirnya menghapuskan hukuman mati walaupun dibantah oleh orang awam.

"Selepas penghapusan hukuman itu, didapati sokongan kepada hukuman mati semakin berkurang. Jadi penghapusan hukuman itu sendiri dapat membentuk pendapat orang awam. Dan kepimpinan moral perlu diberikan oleh kerajaan," katanya.

Surendaran berkata undian itu mengambil mudah isu yang rumit, terutamanya apabila melibatkan nyawa yang tidak bersalah.

"Sekiranya mereka yang membuat undian dihadapkan dengan fakta bahawa hukuman mati tidak pernah dibuktikan mampu membanteras jenayah, adakah mereka akan tetap membuat pilihan yang sama?

"Atau jika mereka tahu bahawa orang yang tidak bersalah mungkin akan dihukum, dan dimaklumkan kes-kes seumpamanya," katanya.

Fakta-fakta seperti itu, kata Surendran, perlu dijelaskan kepada orang awam dan perbincangan mengenai isu itu perlu digalakkan.

Tak berkesan kurangkan kadar jenayah

Surendran turut memaklumkan bahawa tiada peningkatan jenayah berat terjadi di negara yang telah menghapuskan hukuman mati.

"Ia mungkin dilihat bertentangan, tapi ada banyak sebab untuk perkara ini, termasuk hakikat bahawa individu yang berpotensi melakukan kesalahan jarang mempertimbangkan kesalahan apabila memutuskan untuk melakukan kesalahan itu; kebanyakan pesalah beranggapan mereka tidak akan tertangkap.

"Ini adalah sebab pengedar dadah terus menyeludup meskipun hukuman mati dikenakan terhadap pesalah," katanya.

Pesuruhjaya Suhakam, Jerald Joseph berkata, bantahan terhadap penghapusan hukuman mati adalah dari ketakutan yang tidak berasas dan kebiasaan lama yang mempromosikan 'nyawa perlu dibalas dengan nyawa'.

"Kita perlu menghala kepada tindakan yang lebih bersifat belas kasihan yang juga tetap memberikan keadilan kepada mangsa yanpa perlukan hukuman mati," katanya.

Tambahnya, hukuman penjara yang lama lebih mempunyai kesan bagi menangani kes jenayah.

"Sudah tiba masanya kerajaan perlu mendidik dan bantu orang awam untuk memahami bahawa negara yang tidak amalkan hukuman mati masih mempunyai kadar jenayah yang rendah.

"Menangani jenayah tidak hanya bergantung kepada hukuman berat seperti hukuman mati. Yang lebih penting adalah pendekatan dan dasar profesional, selain menyelesaikan punca yang menyebabkan pesalah melakukan jenayah," katanya.

[Baca berita  asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS