Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Undi cabang lebih banyak dari pusat, ini jawapan JPP PKR

PEMILIHAN PKR | Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesan berlaku trend jumlah undi bagi pemilihan kepimpinan di peringkat cabang lebih tinggi berbanding di peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sejak seminggu dua kebelakangan ini termasuk di Kedah semalam.

Setiausaha JPP PKR Ismail Yusop ketika dihubungi Bernama hari ini berkata pasukan teknikal sedang mengkaji situasi ini, sebab ia bagaikan berlaku secara konsisten.

“Kemungkinan pengundi memilih pimpinan di cabang mereka sahaja tetapi untuk MPP hanya undi jawatan penting yang mereka kenal, bukan semua mereka kenal pimpinan atas,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor Nor Hizwan Ahmad hari ini yang sejumlah 30 peratus undi anggota parti itu didapati hilang daripada sistem pengundian pada proses pemilihan parti itu di 10 cabang di Kedah semalam.

Nor Hizwan dalam kenyataan medianya hari ini dipetik sebagai berkata biarpun telah diberikan jaminan bahawa integriti pengundian pada pemilihan kali ini masih utuh namun kegagalan nampak jelas dan sudah tentu merencatkan proses demokrasi dalam PKR.

Ismail berkata dakwaan sedemikian tidak tepat dan sepatutnya Nor Hizwan membuat semakan dengan JPP terlebih dahulu bagi mengetahui keadaan sebenar berlaku dan bukannya terus menyalahkan sistem pemilihan parti berkenaan.

“Kita masih melihat trend (perbezaan ketara pengundian itu), cuma bagi saya statement ini tidak betul. Bagi saya macam sengaja nak menyerang kredibiliti JPP. Memang kita akui ada masalah, tetapi kita cuba atasi dari semasa ke semasa untuk terus perbaiki (masalah yang ada),” katanya.

Beliau berkata hanya cabang Kuala Kedah bagi pemilihan parti di Kedah semalam yang menghadapi masalah apabila pihaknya mengesan terdapat kurang 20 orang yang mengambil barcode masing-masing tetapi tidak mengundi.

“Yang di (cabang) Kuala Kedah itu saya check dengan programmer, memang ada orang ambil barcode, tetapi dia tidak mengundi,” katanya.

Beliau menegaskan pelaksanaan sistem e-undi dalam pemilihan parti itu tidak mempunyai sebarang masalah sebaliknya masalah dihadapi dalam proses pengundian itu berkaitan dengan faktor manusia yang mengendalikan sistem itu.

“Kita juga dapat mengesan ada usaha jahat yang dibuat (mungkin) pihak berkepentingan sengaja macam nak menggangu proses kelancaran pemilihan,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS