Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Biarpun seolah-olah semakin tidak popular, parti politik berasaskan kaum dilihat masih relevan dalam era Malaysia baru, kata pensyarah kanan program sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Muhamad Nadzri Mohamed Noor.

Katanya, relevan atau tidak sesuatu parti itu diukur berdasarkan permintaan terhadapnya.

Maka, jelasnya, parti-parti politik berasaskan kaum tidak boleh dikatakan sebagai sudah tidak relevan kerana masih disokong oleh banyak pihak.

“Di parlimen, anggota parlimen Umno masih ramai. Kalau nak kata ia tidak relevan dengan perubahan zaman, tak juga.

“Di pantai timur dan utara, parti berasaskan kaum masih mampu memenangi rakyat.

“Dalam konteks pasaran, mereka masih relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas kuliah umum bertajuk Hubungan Etnik di Malaysia: Dahulu, Sekarang dan Masa Depan di Hub Teach For The Need (TFTN) di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Dalam program anjuran Akademi Demokrasi Malaysia itu, Nadzri mengupas isu sejarah hubungan antara kaum sejak sebelum merdeka sehinggalah ke hari ini, termasuklah konflik-konflik perkauman.

Dalam ucapannya, beliau turut mengulas tentang konsep kaum menurut ‘teori kategori’.

“Contohnya orang Melayu sendiri. Dahulu, orang Melayu pecahannya banyak.

“Dahulu mereka lebih memperkenalkan diri mereka berdasarkan kerakyatan negeri seperti rakyat Kelantan, Pahang dan sebagainya.

“Kedua, mereka juga perkenalkan diri berdasarkan asal usul: Jawa, Bugis, Banjar,” katanya.

Menurut Nadzri, penubuhan Umno pada 1946 oleh golongan bangsawan telah memberikan definisi baru terhadap etnik Melayu.

“Pecahan etnik yang banyak ini dikumpulkan sebagai ‘Melayu’ berdasarkan bahasa, agama dan adat.

“Jadi Melayu hari ini lahir daripada proses nasionalisme Melayu,” tambahnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS