Paling Popular
Terkini

ULASAN | Umno hari ini nampaknya semakin disimbah kecelaruan. Ada kelihatan isyarat bahawa pertubuhan yang padu itu mula mengalami keretakan.

Retak itu pula seolah-olah menanti belah.

Pada sisi lain Umno dilihat masih gah. Dengan keanggotaan yang berjuta orang Umno parti yang disegani. Namun di bawah sedar jumlah itu tidak lebih sekadar buih-buih dari gulungan ombak yang terdampar di pantai.

Dalam beberapa detik ia pecah satu per satu sebagai natijah kekalahan mereka pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Selepas Datuk Seri Mustapa Mohamed membuat mengumuman menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) malam kelmarin, maka gegerlah Umno seantero tanah air.

Ia bukan saja tidak dibayangkan oleh Umno, terutama di Kelantan, malah langkah Tok Pa itu mungkin tidak pernah diigaukan oleh sesiapa pun.

Namun apa yang terjadi pada parti itu kini seperti sedang pasrah menunggu kutukan hukum karma.

Langkah serba tak kena

Dari Bukit Marak, ke Bukit Peraksi kemudian ke Bukit Panau penulis cuba membaca gerak-gerak isyarat yang dihantar dari jauh. Sejauh Bagan Datuk dan Sembrong.

Derap langkah di buka Tok Pa di Jeli seakan-akan bergema merentasi Banjaran Titiwangsa.

Ketika ini, Umno memang sedang kesulitan dan perlukan kebijaksanaan paling tepat untuk memastikan kelangsungan hayat politiknya.

Masalahnya ialah kadang-kadang kebijaksanaan itu menjadi serta tak kena.

Mahu ke kanan, salah. Mahu ke kiri, janggal. Memilih ke depan, segan. Ke belakang juga bimbang diketawakan.

Ketika presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diselubungkan dengan lebih 40 tuduhan di mahkamah, timbul pula soseh-soseh yang menyuruhnya bercuti seketika.

Dan - biasalah - untuk menjadikan politik itu terus hidup, kemudian ada pula teriak-teriak yang mahu anggota parlimen Bagan Datuk tersebut terus istiqamah dengan jawatannya.

Isunya ialah: adakah Tok Pa yang terakhir.

Sifir politik Umno ialah, mereka tidak biasa kalah. Kalah bermakna "susah".

Justeru adakah gerak anggota parlimen Umno akan stabil sesudah Tok Pa?

Alkisah isyarat yang dipancarkan di peringkat bawahan bukanlah begitu. Dalam politik Umno yang masih tebal dengan tradisi 'payung-memayung' dan penguasaan warlord kehilangan kuasa akan membawa kepada kesesakan nafas ramai orang.

Rehat atau tidak

Justeru kewujudan kem-kem yang ditambat pada pemimpin tertentu menjadi lebih menonjol dan mengundang spekulasi mendebarkan.

Ketika diakui Ahmad Zahid memiliki kem sendiri, kelompok yang lain itu jangan pula dinafikan kewujudannya. Ia bersifat dinamik - atau jika mahu meminjam istilah PAS, mutaghayyirat.

Pada masa sama jangan sesekali dilupa bahawa sebelum Ahmad Zahid menjadi Ahmad Zahid sekarang, beliau pernah menjadi mulut kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sangat naif untuk berfikir bahawa hanya Ahmad Zahid yang ada kumpulan dalam Umno dan pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad adalah sifar.

Tok Pa menjadi bukti bahawa perdana menteri itu seorang "otai" yang masih berbisa.

Pada masa sama sepak terajang Pakatan Harapan masih penuh dengan intrig dan risiko.

Sehari dua ini, kita lihat bagaimana Ahmad Zahid cuba direhatkan. Setakat ini usaha itu gagal. Atau mungkin lebih daripada itu, ia bukan ditolak, cuma suatu kejayaan yang tertangguh.

Faktor salah seorang bekas naib presiden Umno juga tidak boleh ditolak ketepi, iaitu Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Ada cakap-cakap mendakwa lebih 20 anggota parlimen dan orang kuat Umno sedang bersiap siaga melakukan penghijrahan dengan untuk bersama Dr Mahathir.

Di Kelantan sendiri sekurang-kurangnya seorang anggota parlimen Umno disebut-sebut akan mengikuti jejak Tok Pa.

Sementara itu, hasil intaian penulis didapati beberapa tokoh utama Umno Terengganu pula bakal menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Dua orang bekas pemimpin kanan kerajaan negeri dan seorang bekas calon parlimen dari Umno bakal mengumumkan penyertaan mereka ke AMANAH tidak lama lagi.

Pengumuman itu mungkin dibuat seawal 9 Nov ini semasa majlis makan malam Pemuda AMANAH Terengganu. Dikhabarkan borang permohonan ahli akan disambut Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Salahuddin Ayub.

Ya, semua itu sekadar gosip. Cakap-cakap mengenainya sekadar serkap jarang atau tembakan peluru penabur. Namun taranum yang berlagu dalam siasah semasa tetap boleh dibaca lenggok hujung pangkalnya.

Dan dalam politik khususnya situasi di Malaysia kini, tiada yang mustahil.

Ada kemungkinan yang agak besar untuk kita menyaksikan acara pertandingan larian tiba-tiba bertukar arah dan permuafakatan yang tidak dijangka.

Difahamkan memang ramai orang Umno akan mengikut jejak langkah Tok Pa terutama mereka yang mengagumi Dr Mahathir.

Justeru, Umno kini berada di persimpangan. Jika mereka gagal menyediakan solusi terbaik, parti itu akan kehilangan ramai pendukung yang selama ini begitu komited memperjuangkan agenda parti.


N FAIZAL GHAZALI ialah wartawan Malaysiakini yang berpangkalan di Kota Bharu, Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS