Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan dalam usaha selaras undang-undang syariah
Diterbitkan:  Oct 29, 2018 4:12 PM
Dikemaskini: 8:12 AM

PARLIMEN l Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata kerajaan sedang berusaha untuk menyeragam dan menyelaras undang-undang Syariah di seluruh negara.

Menurut beliau, antara usaha yang sedang dilakukan adalah mengkaji keperluan meminda beberapa undang-undang Syariah yang sedang diguna pakai di negeri-negeri bagi memastikan peruntukan undang-undang sedia ada masih releven dengan suasana semasa tanpa mengetepikan hukum syarak dan prinsip-prinsip keadilan.

“Selain itu, kajian berkenaan pindaan dan penyeragaman undang-undang berkaitan kesalahan jenayah Syariah turut dilakukan kerana undang-undang ini masih belum diselaraskan antara negeri yang mempunyai peruntukan berbeza mengenai jenis kesalahan, jenis hukuman dan kadar hukuman.

"Ketidakseragaman ini boleh membawa kepada ketidakadilan terhadap tertuduh dan pihak-pihak yang berkenaan,” katanya ketika menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PAS-Sik) mengenai usaha yang telah dilakukan bagi penyelarasan dan penyeragaman undang-undang Syariah di seluruh negara, pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu, Mujahid berkata kajian tentang penghukuman di bawah undang-undang jenayah Syariah dilakukan agar kaedah hukuman lebih bersifat memulih di samping menghukum seperti perintah khidmat masyarakat, dengan pindaan yang akan dibuat boleh membawa rahmat kepada semua pihak tanpa menjejaskan prinsip keadilan.

Mujahid berkata kerajaan turut menggubal undang-undang berkaitan profesion guaman Syarie untuk diguna pakai di Wilayah Persekutuan dan dijadikan sebagai model undang-undang yang akan diguna pakai oleh negeri-negeri.

Menurutnya lagi, dalam melaksanakan proses penyeragaman undang-undang tersebut, kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang diurus setia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membuat rundingan dan perbincangan dengan negeri-negeri melalui forum seperti Majlis Dialog Undang-Undang dan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil.

"Selain itu, undang-undang yang dicadang untuk diseragam akan dibentang dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan akan diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk mendapatkan persetujuan dan perkenan," jelasnya.

Tegasnya, usaha penyeragaman yang dijalankan ini memerlukan kerjasama daripada negeri-negeri dan menyeru agar negeri-negeri terlibat turut memainkan peranan dalam memastikan penyeragaman undang-undang Syariah dapat dilaksanakan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS