PKR mahu Sjaya Diraja ditubuh kaji sistem pendidikan
Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk mengkaji masalah pendidikan negara dan laporan baru dikeluarkan "kerana rakyat tidak boleh bergantung kepada kenyataan Menteri Pelajaran yang sering bertukar-tukar".
Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk mengkaji masalah pendidikan negara dan laporan baru dikeluarkan "kerana rakyat tidak boleh bergantung kepada kenyataan Menteri Pelajaran yang sering bertukar-tukar".
"Dasar pendidikan yang ada sekarang dibentuk mengikut gerak rasa dan rentak politik semasa," kata Presidennya, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, ketika merasmikan Kongres Nasional PKR di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata, ini termasuk mengkaji secara menyeluruh kesan penukaran bahasa pengantar terhadap mutu dan standard pengajaran Sains dan Matematik di sekolah.
Dr Wan Azizah berkata, PKR tidak bertolak ansur dalam dasar bahasa kebangsaan dan mahu semua warga negara mahir dalam bahasa itu
Katanya, dasar kerajaan adalah untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris tetapi pada masa yang sama menggugat bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda.
"Saya kesal dengan dakwaan pemimpin kerajaan yang mengatakan penggunaan bahasa Inggeris sebagai pengantar pengajaran Sains dan Matematik di sekolah sungguh berjaya.
"Dasar itu amat keliru tetapi mereka sanggup mengorbankan masa depan pendidikan negara dan untuk itu kita mahu Kementerian Pelajaran membuat kajian yang menyeluruh dan bebas mengenai prestasi matapelajaran Sains dan Matematik selepas bahasa pengantarnya ditukar ke bahasa Inggeris,".
Dalam ucapannya selama kira-kira 30 minit itu, Dr. Wan Azizah juga menyentuh mengenai kegagalan sistem pendidikan negara.
Kegagalan universiti
Beliau berkata, rakyat gusar memikirkan universiti terulung di Malaysia tidak lagi mampu mempertahankan keunggulannya dengan hanya menduduki tangga 169 di kalangan universiti terbaik dunia.
Katanya, hari ini universiti tempatan rata-rata gagal melahirkan mereka yang benar-benar berfikir kerana universiti tidak mencetuskan pembaharuan pemikiran tetapi sebagai ejen birokrat pemerintah.
"Sindrom burung belatuk tidak boleh dijadikan mantera pengajian dan untuk memulihkannya kita perlu menghidupkan sikap kritis sebagai prosedur pendidikan dan penggalian ilmu," katanya.
Dr.Wan Azizah berkata, kegagalan sistem ini bermakna menggagalkan hampir 12 juta penduduk yang berumur kurang 25 tahun.
Katanya, adalah suatu yang memalukan kerana kita sering menggembar-gemburkan usaha menjadikan Malaysia pusat pendidikan serantau tetapi tidak mempunyai usaha konkrit membaiki sistem sedia ada.
"Kita asyik mencanang kuantiti 17 universiti awam tetapi tidak langsung membicarakan soal kualiti," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.