Paling Popular
Terkini

ULASAN | Dalam semua perbincangan mengenai “ketuanan Melayu” sejak terbitnya buku Dilema Melayu 48 tahun lalu, perbincangan itu berpenghujung pada tuduhan yang sama, lagi dan lagi: Melayu malas!

Tuduhan itu walaupun tidak disebut secara jelas, seperti dalam buku karangan Dr Mahathir Mohamad itu, tetapi itulah senjata parti pemerintah, Umno, sejak puluhan tahun yang bertujuan untuk menjadikan bangsa Melayu terus bersandar kepadanya.

Tidak bebas. Tidak merdeka. Tidak mandiri.

Tujuannya adalah memperbodohkan orang Melayu bahawa hanya Umno - sebuah parti perkauman - yang mampu menyelamatkan dan membela nasib Melayu. Sampai hari ini, bahkan sampai semalam pun, jampi serapah seumpamanya masih terdengar. Selalunya datang daripada pemimpin parti yang bersifat perkauman, walau apa pun nama partinya.

Isu menyentuh ketuanan Melayu juga menjadi antara perbincangan utama sejak Reformasi 1998. Bukan lagi isu baru.

Bahkan kita sudah menyedari bagaimana Dr Syed Hussein Alatas membuat hujah balas terhadap buku Dilema Melayu, melalui Mitos Pribumi Malas. Di sana, Dr Syed Hussein (gambar) membentangkan bagaimana momokan bahawa bangsa peribumi - termasuk Melayu - sebagai malas, tidak menghargai masa, selalu bersenang-senang, berpeleseran bahkan tidak amanah dan makan suap menjadi perang saraf yang dimulakan dan digunakan penjajah di banyak wilayah jajahannya.

Perang saraf berkenaan kemudian diambil oleh penguasa dan politikus di kalangan anak watan sendiri menjadi senjata ‘menjajah’ bangsanya sendiri.

Seakan-akan pemimpin politik sebagai pemutus kata akhir tentang apa yang patut, dan apa yang tidak patut kepada bangsanya. Anak-anak bangsa peribumi - sekali lagi termasuklah orang Melayu - tidak banyak mempunyai ruang untuk memutuskan nasib dan masa depan mereka secara sedar.

Di sinilah apa yang selalu disebut ahli ilmu psikologi sebagai “alter ego”: satu bentuk bibit kediktatoran. Bukan senang bagi sang politikus untuk menginsafi diri sendiri, “bahawa aku inilah yang penuh kelemahan, dan bukan bangsaku, atau manusia lain.”

Yang penting ruang kebebasan

Memang menghisap dadah bukan sesuatu yang baik. Namun kita tidak boleh menyalahkan seluruh bangsa Melayu apabila tujuh daripada sepuluh penagih dadah adalah Melayu kerana memang Melayu majoriti dalam negara ini.

Memang populasi Melayu-Bumiputera hampir 70 peratus daripada penduduk Malaysia. Maknanya ukuran kuantitatif itu haruslah dipadankan dengan pecahan populasi penduduk.

Namun sekali lagi, kalau ada seorang pun kalau anak Melayu yang menagih dadah, ia perkara buruk. Tidak boleh dikompromi. Tapi lebih buruk kalau angka tanpa perbandingan digunakan untuk menindas akal budi atau memperkecil budaya serta tahap pemikiran Melayu secara umum.

Di luar buku Dr Syed Hussein, ada perbincangan lebih besar tentang apa yang disebut sebagai ciri-ciri pascapenjajahan. Cara menjajah sesuatu kaum, bermula dengan menakut-nakutkan tentang sifat dan keadaan dirinya. Hilangkan keyakinannya - walaupun di permukaan seakan-akan penjajah datang sebagai penyelamat.

Hanya sekali lagi, semua tuduhan dan angka-angka buruk termasuk ‘kerisauan’ tentang jumlah mat-mat rempit di kalangan orang Melayu bukan cara fikir yang betul oleh seorang penguasa politik. Apa yang paling mustahak ialah tanggungjawab kepimpinan yang harus sedar bagaimana untuk menjamin bangsanya mempunyai ruang udara kebebasan yang segar.

Daripada ruang kebebasan itulah, manusia dapat berfikir. Faktor itu yang tidak dapat dimiliki oleh bangsa Melayu terutama pada dekad 1990-an. Melayu tidak perlu ditunjuk-tunjuk sampai jadi bodoh. Atau diperintah-perintah sehingga daya fikirnya lumpuh.

Teladan Raja Oedipus

Di sini mungkin mitos orang Yunani tentang cerita Raja Oedipus ada benarnya. Sang Raja bukanlah manusia yang jahat, tetapi di dalam dirinya ada perasaan untuk menguasai yang meluap-luap, serta perasaan mahu meninggalkan masa lalu yang dianggapnya kelam. Dia mahu menuju ke masa depan yang cerah.

Ketika dia sudah dapat menjadi raja dan berkuasa dengan membunuh bapanya sendiri, negerinya dilanda pula wabak penyakit. Di situ, dipanggillah segala orang bijak pandai yang digelar “dukun” atau “bomoh” pada zamannya. Ditenunglah oleh orang bijak pandai akan punca wabak yang melanda negeri dan rakyat jelata.

Ternyata punca wabak adalah dari Oedipus sendiri. Dalam tafsiran hari ini, masalah sesuatu bangsa itu bukan datang dari rakyat di pasar, di jalan raya, di perusahaan waima di lorong-lorong pelacuran sekali pun, tetapi datang daripada pemerintah dan sang penguasa yang menganggap dirinya maha mengetahui.

Selepas jelas bahawa retorika politik era 1980-an dan 1990-an sebegitu tidak boleh menyelesaikan masalah kehinaan terhadap Melayu, maka tidak perlulah cakap-cakap begitu diulang-ulang. Orang Melayu hanya perlu dilayan seperti manusia yang bermaruah, diberikan kebebasan untuk menjadi bijak, serta yang paling mustahak tidak ditindas oleh pemimpin bangsanya atau bangsa-bangsa lain.

Benarlah kata pepatah Cina, “ikan busuk dari kepala.” Untuk mengelak daripada orang tahu kepala yang membusuk itu - sepertimana strategi penjajah di zaman penjajahan dahulu - maka dituduhlah betapa serba-serbi hodoh, cela dan buruk wajah bangsanya itu.

Sebelum semuanya sampai ke penamat cerita larilah Raja Oedipus ke hutan apabila mengetahui bahawa dirinyalah yang celaka. Dirinya punca kebusukan, punca wabak yang tiada ubatnya. Melainkan dia perlu turun takhta. Membawa diri ke belantara. Lalu membunuh diri.

Peraturan nombor satu untuk terpandang mulia, keluar dari politik perkauman baik atas nama “Melayu” atau “Islam”. Masuk ke tengah gelanggang persaingan yang setara. Antara semua bangsa.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS