Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM ulangi lebih ramai 'jerung besar' bakal diheret ke mahkamah
Diterbitkan:  Oct 30, 2018 12:06 PM
Dikemaskini: 7:29 AM

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi jaminan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) akan terus mencari dan mengheret lebih ramai ‘jerung besar’ yang terbabit dengan rasuah pada zaman pentadbiran kerajaan BN terdahulu.

“Akan ada ramai lagi orang akan diheret. Tetapi, sekarang kita terpaksa memberi fokus terhadap beberapa orang terlebih dahulu kerana kekurangan pegawai.

“Jadi, kita tidak boleh berurusan dengan ramai orang yang terbabit dengan rasuah pada zaman pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Buat masa sekarang, kita ‘kejar’ jerung besar terlebih dahulu. Tetapi untuk heret mereka, kena kumpul cukup bukti untuk heret ke mahkamah keadilan dan kemudiannya tindakan boleh diambil,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Sidang Kemuncak Anti Rasuah 2018 di Kuala Lumpur, hari ini.

Sambil mengakui ia bukan kerja mudah kerana memerlukan bukti untuk mengheret mereka muka keadilan, Dr Mahathir berkata, kerajaan juga menghadapi kekangan dari segi pegawai untuk menjalankan tugas itu.

“Sudah enam bulan (sejak Pakatan Harapan mengambil alih Putrajaya); kami dalam proses menyusun semula kerajaan, Sebenarnya, secara amalan, mewujudkan kerajaan baru.

“Sudah tentu, kita memerlukan para pegawai yang berpengalaman; namun, sesetengah pegawai yang berpengalaman didapati melakukan rasuah dan sesetengah mereka telah pun didakwa atas kesalahan rasuah.

“Tetapi masih ada ramai lagi. Sebaik kita mendapat bukti, kita akan bertindak terhadap mereka namun buat masa sekarang, kita mempunyai tugas yang diperlukan untuk memerintah negara ini, kita tidak boleh hanya tertumpu kepada rasuah sahaja,” katanya.

Khidmat masih diperlukan

Dr Mahathir menjelaskan bahawa sesetengah pegawai kanan kerajaan yang terlibat itu akan dikekalkan buat sementara waktu memandangkan perkhidmatan mereka masih diperlukan bagi membantu kerajaan tetapi sebaik sahaja tugas itu selesai mereka akan diberhentikan.

Baru-baru ini, sejumlah pegawai kerajaan didakwa kerana rasuah dan pecah amanah termasuk bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan bekas Ketua Pertubuhan Risikan Luar Malaysia, Datuk Hasanah Ab Hamid.

Dr Mahathir juga berkata kerajaan akan merumuskan undang-undang baharu dan memansuhkan sesetengah undang-undang yang lama dan menindas oleh pentadbiran sebelum ini bagi memastikan Putrajaya dapat menyediakan kepada rakyat garis panduan yang sebenar berhubung dengan rasuah.

“Jadi, terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan. Ramai orang, banyak masalah. Kita cuba untuk selesaikan masalah sebanyak yang mungkin boleh kami lakukan,” katanya.

Peresidangan Anti-Rasuah, yang bertemakan ‘Good Governance and Integrity for Sustainable Business Growth’, dianjurkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M).

Ia dihadiri kira-kira 500 peserta dan dihoskan oleh penceramah dari luar negara dan tempatan termasuk presiden TI-M, Datuk Akhbar Satar; Ketua Pengarah Jabatan Immigresen,Datuk Seri Mustafar Ali; bekas petugas Petro Saudi, Xavier Andre Justo dan penasihat anti-rasuah UNODC (United Nations Office on Drugs and Crime) bagi Asia Tenggara dan Pasifik, Francesco Checchi.

Sokongan rakyat

Sementara itu, Dr Mahathir pada ucap tama pada Persidangan Anti-Rasuah 2018 di Kuala Lumpur, hari ini mengajak setiap orang agar berganding bahu membantu kerajaan memerangi gejala rasuah.

Beliau berkata, orang ramai tidak perlu takut untuk melaporkan kes rasuah kepada pihak berkuasa, dengan memberi jaminan bahawa langkah mereka itu tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

“Kami memerlukan sokongan rakyat. Rakyat hendaklah memahami bahawa rasuah sesuatu yang tidak baik untuk mereka. Oleh itu, mereka perlu memainkan peranan dalam menghapuskan rasuah.

“Jika terdapat sebarang bukti rasuah dalam kerajaan, kami berharap orang ramai dapat menyatakannya dan memberitahu kepada pihak berkuasa bahawa terdapat pegawai rasuah dalam kerajaan,” katanya.

Beliau juga menekankan akan kepentingan dan kerjasama orang ramai dalam membasmi rasuah adalah amat penting memandangkan kerajaan bergantung kepada orang ramai untuk membantu mereka mengenai sebarang amalan rasuah yang mungkin menjejaskan mereka.

Rasuah satu jenayah

Dr Mahathir berkata pada masa yang sama, orang ramai hendaklah menyedari bahawa rasuah adalah satu jenayah dan mereka perlu jauhi perilaku rasuah seperti cuba memberi rasuah kepada pegawai untuk mendapatkan kelulusan sesuatu yang mereka kehendaki.

“Ini harapan kami agar seluruh negara ini dapat dididik dalam membasmi rasuah.

"Ini bermakna kita perlu mempunyai standard yang tinggi dalam sistem penilaian kita, kita hendaklah menolak rasuah dan sebagai satu bentuk jenayah yang tidak memberi faedah kepada sesiapa pun. Kita berharap orang ramai dapat menunjukkan sokongan mereka dalam membasmi rasuah, dan apabila para pegawai dan jentera kerajaan dibersihkan, ia akan dapat mengurangkan rasuah walaupun tidak menghapuskan sama sekali,” katanya.

Perdana Menteri berkata, sejak Pakatan Harapan memegang tampuk pemerintahan berikutan kemenangan pada PRU ke-14, kerajaan berjanji untuk memerangi rasuah.

Beliau berkata, dengan mengasingkan kuasa dalam kalangan pegawai perundangan, eksekutif dan kehakiman dan membasmikan rasuah, kerajaan juga akan memastikan bahawa ketiga-tiga badan berkenaan akan saling bantu membantu antara satu sama lain.

Lihat Komen
ADS