Paling Popular
Terkini

Beberapa undang-undang perlu dipinda atau dimansuhkan bagi memastikan perlindungan lebih baik diberikan kepada pemberi maklumat, kata peguam hak asasi Eric Paulsen.

Bercakap di Sidang Kemuncak Antirasuah 2018 di Kuala Lumpur hari ini, Paulsen berkata kerajaan perlu melaksanakan perkara itu jika serius mahu membanteras rasuah di negara ini.

Paulsen berkata undang-undang yang perlu dipinda adalah Seksyen 6, Seksyen 8(4) dan Seksyen 11(d) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (WBPA) 2010, dan Seksyen 203 Kanun Keseksaan.

"Ada beberapa undang-undang yang perlu dipinda. Saya hanya mahu sebutkan tiga.

"Salah satu adalah Seksyen 9 (WBPA) berhubung pendedahan salah laku. Perlindungan pemberi maklumat ini tidak akan diguna pakai sekiranya undang-undang tertentu tidak membenarkan pemberi maklumat mendedahkan maklumat berkenaan. Jadi itu perlu diubah," katanya.

Di bawah seksyen itu, seseorang boleh mendedahkan salah laku selagi ia tidak dilarang oleh undang-undang bertulis lain.

Jelas Paulsen, Seksyen 8(4) akta sama pula menetapkan adalah satu kesalahan sekiranya seseorang mendedahkan maklumat salah laku kepada pihak lain sekiranya ia masih disiasat.

"Jika pemberi maklumat mengikut prosedur ini dan kemudian mendapati tiada tindakan diambil lalu memutuskan mendedahkan perkara itu kepada anggota parlimen contohnya, ia akan melanggar Seksyen 8(1), dan dia boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun.

"Yang ketiga adalah Seksyen 11(d) yang menyatakan perlindungan pemberi maklumat ditarik balik sekiranya pendedahan salah laku mempersoalkan dasar kerajaan, termasuk dasar pertubuhan awam.

"Ini tidak bertepatan dengan tujuan WBPA. Rasuah terjadi di belakang tabir, dan ia mungkin melibatkan dasar kerajaan. Kita tidak boleh ada undang-undang sebegini," katanya.

Berhubung Seksyen 203, Paulsen menyifatkan ia sebagai undang-undang yang tidak masuk akal kerana menetapkan adalah suatu kesalahan sekiranya penjawat awam mendedahkan maklumat tugasannya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS