Peguam: Keluarga Moorthy akan terima keputusan mahkamah tinggi

Muda Mohd Noor        

Tindakan membawa kes pengislaman wira Everest M Moorthy yang meninggal pada Selasa lalu ke Mahkamah Tinggi (Rayuan Khas) bukan bermaksud untuk mencabar keputusan Mahkamah Syariah, kata peguam keluarganya, A. Sivanesan.

Beliau yang mewakili balu Moorthy Kaliammal Sinnasamy berkata mereka mahu kes itu diputuskan oleh mahkamah tinggi kerana mereka tidak boleh diwakili oleh peguam dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah.

"Adakah mahkamah sivil mempunyai kuasa untuk membicarakan kes tersebut? Itu yang kami ingin tahu," katanya ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

Menurutnya, apa sahaja keputusan mahkamah tinggi yang akan mendengar kes itu Selasa ini, akan diterima oleh Kaliammal dan anggota keluarganya yang lain.

Sivanesan juga meminta pihak lain turut menerima apa juga keputusan mahkamah tinggi itu nanti.

Khamis lalu, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur memutuskan, Moorthy adalah penganut Islam dan hendaklah dikebumikan mengikut syariat Islam.

Amaran polis

Bagaimanapun, majlis pengkebumian terpaksa ditangguhkan kerana bantahan oleh keluarga Moorthy.

Kaliammal mendakwa suaminya tidak memeluk Islam dan mahu mayatnya dikebumikan mengikut agama Hindu.

Sivanesan berkata, Kaliammal tidak puas hati kerana peguamnya tidak boleh mewakili pihaknya semasa perbicaraan di Mahkamah Syariah.

Beliau berkata, Mahkamah Syariah tidak boleh menentukan Moorthy Islam atau tidak, tetapi ia bidang kuasa mahkamah sivil.

Walaupun Mahkamah Syariah memutuskan jenazah Moorthy dikebumikan segera mengikut syariat Islam, tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana isterinya berkeras suaminya bukan penganut Islam.

Berikutan itu, ramai ahli keluarganya berkumpul di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi semalam tetapi keadaan terkawal.

Ini menyebabkan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mustafa Abdullah memberi amaran supaya dihentikan penyebaran khabar angin mengenai berlakunya kekecohan di HKL.

Beliau berkata, keadaan terkawal dan menurutnya polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat khabar angin.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In