Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi buatkan rakyat tak mampu berfikir? Najib bidas Dr M
Diterbitkan:  Oct 31, 2018 11:51 PM
Dikemaskini: 3:56 PM

Bekas Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak membidas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan pemberian subsidi menyebabkan rakyat tidak mampu berfikir dan terlalu bergantung kepada kerajaan.

Menyifatkan kenyataan tersebut sebagai penghinaan kepada rakyat, Najib berkata ia juga membayangkan kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi yang diberikan sebelum ini.

"Hari ini keluar kenyataan bahawa kerajaan bayangkan untuk hentikan subsidi, kononnya ia sebabkan rakyat tak mampu fikir, jadi malas tak boleh berdikari, duduk tak buat kerja pun boleh dapat duit.

"Setiap hari rakyat dihina. Apa sebenarnya kerajaan hari ini buat untuk negara, untuk rakyat Malaysia?" soalnya menerusi laman Facebook.

Terdahulu Utusan Online hari ini melaporkan Mahathir sebagai berkata, subsidi hanya membuatkan seseorang itu tidak mampu berfikir dan tidak boleh berdikari.

“Lihat saja kerajaan terdahulu, mereka memberi wang kepada golongan miskin dan golongan itu tidak perlu bekerja. Walaupun tidak bekerja,tetap mendapat RM500 (Bantuan Rakyat 1Malaysia).

“Jika Malaysia terus menjadi sedemikian, tidak lama lagi, semua orang tidak akan mampu berfikir, tidak boleh bergerak dan tidak boleh melakukan kerja dengan sendiri kerana terlalu bergantung kepada subsidi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan dasar nasional Industri 4.0, Industry4WD di Menara MITI.

Mengulas lanjut, Najib berkata kerajaan BN sebelum ini tidak pernah menyatakan pemberian bantuan atau 'subsidi' seperti BR1M adalah untuk menggantikan gaji atau pendapatan.

"Kita buat adalah sebagai social safety net, untuk bantu mereka lengkapkan apa yang mungkin kurang daripada pendapatan harian mereka.

"Inikah yang dimaksudkan subsidi buat rakyat tak mampu berfikir?" soalnya.

Lihat Komen
ADS