Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jika berbaloi kita akan bawa balik pesawat Jho Low - Dr M

Kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada berbaloi untuk membawa balik pesawat peribadi milik ahli perniagaan Low Taek Jho yang didakwa dibeli dengan dana yang diseleweng daripada 1MDB, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau ditanya sama kerajaan akan meneruskan usaha untuk membawa pulang pesawat jenis Bombardier Global 5000 yang berharga AS$35 juta itu seperti yang diperkatakannya kepada wartawan pada Ogos lalu.

"Saya tidak tahu sama ada ia berbaloi untuk dibawa balik sekarang. Pesawat itu tidak boleh diterbangkan. Jika ia berbaloi, kita akan membawanya balik," kata Mahathir.

Terdahulu, Perdana Menteri hadir merasmikan majlis Anugerah Felo dan Anugerah 24 Saintis Terbaik 2018, anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) di Kuala Lumpur hari ini.

Mahkamah persekutuan AS sebelum ini telah memberi kebenaran untuk melelongkan pesawat peribadi berkenaan.

Global One Aviation (Global 5000) Ltd, dalam satu kenyataan semalam, berkata mahkamah telah meluluskan bidaan itu, yang turut diminta oleh Jabatan Kehakiman AS (DOJ), dan akan diadakan dalam kadar segera.

Pesawat milik Jho Low yang kini ditempatkan di Lapangan Terbang Seletar di Singapura.

Proses bidaan bagi pesawat peribadi itu akan diadakan dua minggu daripada sekarang dan akan berlangsung selama 25 hari.

Hasil perolehan akan disimpan di AS sehingga pihak-pihak yang mendapat hak bagi pesawat berkenaan diputuskan oleh mahkamah.

Pesawat peribadi itu kini ditempatkan di Lapangan Terbang Seletar di Singapura selepas pihak berkuasa negara itu menahannya pada Februari tahun lepas.

Dilaporkan bahawa pesawat berkenaan dan kapal persiaran mewah, Equanimity bernilai AS$ 250 juta adalah sebahagian daripada aset bernilai AS$ 1 bilion yang didakwa diperolehi dengan dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

Harap Justo jadi saksi

Dalam perkembangan lain, Mahathir mengulas kenyataan bekas pengarah eksekutif Petrosaudi, Xavier Andre Justo bahawa perjanjian usaha sama antara PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi) dan 1MDB disengajakan untuk mencuri wang kerajaan.

"Saya fikir jika anda (Justo) boleh berikan beberapa keterangan yang relevan, anda dialu-alukan (menjadi saksi), katanya.

Bagaimanapun, beliau menambah bahawa ia bergantung kepada pendakwa raya sama ada Justo akan dipanggil sebagai saksi utama atau tidak.

Sementara itu, Mahathir tidak senang dengan cadangan bahawa pelajar mungkin boleh terlibat dalam politik melalui cawangan parti politik di universiti pada masa akan datang.

"Kamu bebas bercakap apa yang kamu suka. Tak payahlah bagi (parti politik di universiti)," katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berkata parti-parti politik boleh menubuhkan cawangan di universiti awam selepas Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Auku) dipinda.

Maszlee berkata pindaan itu adalah selaras dengan cadangan menurunkan had umur mengundi kepada 18 tahun. Bagaimanapun, Maszlee berkata bahawa ia hanya terpakai untuk universiti awam yang tertakluk di bawah Auku.

Lihat Komen
ADS