Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DOJ kenakan tuduhan terhadap Jho Low, bekas jurubank Goldman
Diterbitkan:  Nov 1, 2018 10:47 PM
Dikemaskini: 3:50 PM

Jabatan Keadilan AS (DOJ) mengenakan pertuduhan terhadap ahli perniagaan yang kini menjadi buruan Low Taek Jho dan dua bekas jurubank dari Goldman Sachs termasuk Tim Leissner atas pelbagai tuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB.

Menurut kenyataan DOJ, Low didakwa "tanpa kehadiran tertuduh" (in absentia) kerana berkonspirasi untuk melakukan pengubahan wang haram berbilion dolar daripada dana kekayaan Malaysia dan berkomplot untuk melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA).

Leissner, yang merupakan bekas pengerusi Goldman Asia Tenggara, mengaku bersalah melakukan konspirasi untuk pengubahan wang haram dan berkomplot melanggar FCPA. Dia juga dilaporkan akan dilucuthak AS$43.7 juta.

Juga dikenakan pertuduhan ialah Roger Ng atau nama penuhnya Ng Chong Hwa, yang telah bertugas untuk Goldman Asia Tenggara.

Menurut kenyataan itu, tiga dakwaan jenayah di mahkamah persekutuan di New York itu adalah berkaitan dengan Low dan Ng yang berkomplot untuk melakukan pengubahan wang haram berbilion ringgit daripada 1MDB.

Ini termasuk tuduhan berkonspirasi untuk melanggar FCPA bagi membayar rasuah kepada pegawai-pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi.

DOJ bagaimanapun menegaskan bahawa pertuduhan itu tidak bermaksud dua tertuduh (Low dan Ng) bersalah.

"Pertuduhan terhadap Low dan Ng ialah tuduhan, dan defendan-defendan itu diandaikan tidak bersalah melainkan dan sehingga terbukti bersalah."

'Rasuah jutaan dollar'

DOJ berkata Low mempunyai hubungan rapat dengan pegawai berpangkat tinggi di Malaysia dan Abu Dhabi.

"Ng, Leissner, dan lain-lain di institusi kewangan dikatakan tahu Low rapat dengan pegawai-pegawai kerajaan ini, termasuk pegawai kerajaan Malaysia berpangkat tinggi yang mempunyai kuasa meluluskan keputusan perniagaan 1MDB (Official Malaysia #1).

"Berdasarkan tuduhan dalam fail mahkamah, bermula sekitar 2009 dan berterusan pada 2014, Low, Ng, Leissner dan konspirator yang lain menggunakan hubungan Low untuk mendapatkan dan mengekalkan bisnes bagi institusi kewangan melalui janji dan bayaran ratusan juta dollar dalam bentuk rasuah, termasuk untuk memastikan 1MDB menganugerahkan institusi kewangan ini peranan terhadap tiga transaksi bon yang diketahui secara dalaman di institusi kewangan itu sebagai 'Projek Magnolia', 'Projek Maximus dan 'Projek Pemangkin'," kata kenyataan itu.

DOJ juga berterima kasih, antara lain kepada peguam negara Malaysia, polis Malaysia, serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menyediakan bantuan yang diperlukan bagi kes itu.

Lihat Komen
ADS