Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sarawak perlukan tadbir urus baik, kata MP Bandar Kuching
Diterbitkan:  Nov 2, 2018 6:58 AM
Dikemaskini: 11:29 PM

Selain perjuangan gigih untuk memastikan hak Sarawak dikembalikan, satu lagi isu penting yang perlu diketengahkan adalah keperluan untuk mewujudkan tadbir urus kerajaan yang baik, kata Anggota Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen.

“Andainya lebih banyak hak dikembalikan kepada Sarawak sekalipun, tapi sekiranya tiada langkah anti rasuah diambil, maka lebih banyak wang dari kekayaan kita akan pergi kepada golongan elit dan mereka yang berkuasa,” katanya ketika ditemui Bernama di luar Persidangan Antarabangsa mengenai Sarawak dan Asean di Kuching semalam.

Yii merupakan salah seorang penceramah dalam sesi “The New Sarawak In A New Malaysia – What Lies Ahead?” (Sarawak Baharu dalam Malaysia Baharu – Ada apa Dihadapannya?), selain pengarah Institut Asia, University of Tasmania Prof. Dr James Chin dan Timbalan Dekan (Penyelidik dan Post graduate) Dr. Arnold Puyok; dengan Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang selaku moderator.

Menurutnya dalam memastikan kekayaan terpelihara, langkah-langkah anti rasuah dan tadbir urus baik perlu ada, dan diwujudkan seiring dengan pengembalian hak Sarawak sebagaimana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Merujuk kepada kritikan berhubung kandungan wakil dari Sarawak dalam jawatankuasa pemandu bagi mengembalikan hak Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam MA63, Yii berkata semua pihak perlu melihat Sabah dan Sarawak sebagai satu blok.

Beberapa media tempatan sebelum ini melaporkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyuarakan kebimbangannya apabila kemposisi jawatankuasa itu dilihatnya sebagai “tidak seimbang”.

“Kritikan semasa kini adalah merujuk kepada jawatankuasa pemandu itu kerana hanya ada tiga wakil dari Sarawak dalam jawatankuasa berkenaan, tapi saya rasa kita perlu melihat Sabah dan Sarawak sebagai satu blok,” katanya.

“Lapan wakil dari Semenanjung Malaysia adalah menteri kabinet dan mereka berada dalam jawatankuasa itu kerana keputusan yang akan diambil akan memberi kesan kepada kementerian yang berbeza, dan para menteri itu perlu ada dalam jawatankuasa berkenaan untuk membuat sebarang pengubahsuaian yang perlu berdasarkan kepada apa yang dibincangkan,” katanya.

Oleh itu kata Yii, beliau tidak bersetuju sekiranya ada yang berpendapat wujud konspirasi atau rancangan oleh kerajaan persekutuan untuk sengaja mengecilkan jumlah wakil dari Sabah dan Sarawak dalam jawatankuasa itu, tapi melihat ia lebih kepada soal teknikal dalam menguruskan jawatankuasa berkenaan.

“Kita lihat diri kita (Sabah and Sarawak) sebagai satu blok, dan kita memiliki peranan rundingan setara, dan kita juga perlu lihat Sabah sebagai rakan kongsi kerana saya rasa Sabah juga tidak mahu haknya turut diambil,” katanya.

“Saya dapat rasakan permulaan yang baik di sini kerana buat kali pertama ada perbincangan dua pihak, dan bukannya hanya melibatkan perbincangan ahli politik sahaja, tapi juga ahli akademik, penjawat awam… semuanya boleh memberikan input,” tambahnya.

Yii berkata malah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri berkata beliau ingin mengembalikan status Sabah dan Sarawak dengan meminda Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

“Sudah tentu kita perlukan majoriti dua pertiga, tapi itu bukanlah satu-satunya langkah yang akan diambil dalam merujuk soal Artikel 1(2),” katanya dan menambah banyak pindaan diperlukan dalam pelbagai peruntukan yang terkandung didalamnya.

Sementara itu merujuk kepada belanjawan yang akan dibentang di Parlimen hari ini, Yii berkata beliau ada bercakap dengan Menteri kewangan Lim Guan Eng semalam yang memberi jaminan bahawa peruntukan pembangunan buat Sabah dan Sarawak akan menjangkau hampir kepada 30 peratus.

Yii menganggap ia sebagai permulaan yang baik oleh kerajaan Pakatan Harapan dari segi memberi lebih banyak keutamaan kepada Sabah dan Sarawak untuk membetulkan pembangunan yang tidak samarata yang dialami oleh dua negeri itu selama ini.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS