Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peruntukan RM5 juta dari PMO pada DPMM didakwa 'hilang'


Timbalan Presiden Dewan Peniaga Melayu Malaysia (DPMM) Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee dan 17 exco dewan itu menuntut mesyuarat agung khas (EGM) diadakan segera bagi membincangkan transaksi “luar biasa” presidennya Rizal Faris Mohideen Abdul Kadir.

Ia dikatakan membabitkan “kehilangan” lebih RM5 juta dari tabung DPMM yang diperuntukkan Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Dalam saman pemula terhadap Rizal (bawah), setiausaha agungnya Don Nazwim Don Najib dan DPMM, dewan itu didakwa kehilangan RM5.4 juta dari tabungnya.

Wang tersebut dikatakan digunakan untuk pilihan raya umum ke-14, tanpa kelulusan jawatankuasa exco.

Saman pemula itu difailkan pada 13 September lalu di mahkamah tinggi Kuala Lumpur.

Hari ini Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan Jumaat depan (9 November) untuk pengurusan kes.

Menurut saman pemula itu lagi, ia berkaitan penjualan dua hartanah DPMM di Plaza Damansara, Kuala Lumpur bernilai RM11.6 juta.

RM5.6 juta sepatutnya telah didepositkan dalam akaun DPMM. Bagaimanapun, ia kini didakwa tinggal RM200,000 sahaja dan baki RM5.4 juta didakwa diguna untuk kempen pilihan raya ke-14.

Saman pemula itu juga menyatakan RM5 juta diperuntukkan kepada DPMM oleh JPM dengan salah telah diperuntukkan ke Yayasan DPMM Pulau Pinang Berhad.

Mereka juga mendakwa peruntukkan RM1 juta diberi oleh suatu syarikat yang hanya dikenali sebagai Redberry kepada DPMM, disalah guna untuk kempen pilihan raya.

Syed Hussein dan exconya mendakwa mereka telah bersemuka dengan Rizal mengenai transaksi-transaksi tersebut dalam mesyuarat eksekutif 31 Mei lalu tetapi Rizal gagal beri penjelasan munasabah.

Mereka berkata sepatutnya perhimpunan agung DPMM harus diadakan pada atau sebelum 30 Jun setiap tahun tapi sehingga sekarang gagal diadakan.

Kesemua 18 orang yang memfailkan saman juga mendakwa pada atau sekitar April 10 tahun ini, DPMM telah menulis surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia memohon lanjutan masa untuk diadakan AGM, tanpa pengetahuan mereka.

Mereka mendakwa perbuatan Rizal tidak mendedahkan surat ini telah memprejudiskan DPMM dan tindakan tersebut boleh membuatkan DPMM dibatalkan pendaftarannya.

Oleh itu mereka memohon perintah mahkamah supaya satu mesyuarat khas (EGM) dipanggil mengikut surat mereka bertarikh 8 Ogos dan supaya Syed Hussein mempengerusikannya, dan bukannya Rizal.

Mereka juga menuntut perintah supaya ahli DPMM di negeri-negeri berhak mengundi dalam EGM itu dan defendan harus menanggung kos tindakan itu.

Lihat Komen
ADS