BERITA Malaysiakini

Lim akhiri ucapan dengan sebut 'amar makruf nahi mungkar'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Buat kali pertama Lim Guan Eng akan membentangkan belanjawan negara di Dewan Rakyat hari ini.

Pembentangan oleh menteri kewangan itu menjadi perhatian ramai kerana ia adalah belanjawan pertama disediakan Pakatan Harapan.

Ia diikuti dengan penuh minat ketika kerajaan menegaskan keadaan kewangan negara pada ketika ini memerlukan semua pihak bersedia untuk berkorban.

 Malaysiakini melaporkan pembentangan belanjawan ini secara langsung:

6.18pm: Menteri kewangan mengakhiri ucapannya dengan menggesa pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB memulangkan semula wang negara.

Menggelarkan mereka sebagai 'penyangak' Lim berkata Jho Low, watak utama dalam skandal itu telahpun didakwa (tanpa kehadiran) di Amerika Syarikat.

"Kepada mereka yang tersesat di hujung, baliklah ke pangkal jalan.

"Amar makruf nahi mungkar. Marilah kita menuju dengan penuh harapan," katanya mengakhiri ucapan.

6.15pm: Japan Bank of International Cooperation dijangka menjamin JPY200 billion (sekitar RM7.4 billion) dalam pengeluaran Bon Samurai tersebut yang dijadual akan diterbitkan Putrajaya sebelum Mac 2019.

Kadar kupon ditetapkan pada 0.65 peratus.

Lim berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjaya meyakinkan Jepun terhadap jaminan terbitan bon ini.

"Kami ingin mengucapkan penghargaan kepada kerajaan Jepun kerana sudi menawarkan jaminan ke atas penerbitan Bon Samurai," katanya.

6.13pm: Sebagai tanda penghargaan kepada usaha dan dedikasi kesemua penjawat awam semasa melaksanakan tugas yang diamanahkan kepada mereka, kerajaan mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 54 dan bawah.

Bayaran khas sebanyak RM250 juga akan diberi kepada pesara kerajaan. Jumlah bayaran khas ini adalah sebanyak RM1 bilion. Berbanding dengan pentadbiran dahulu yang lazimnya menyalurkan bayaran khas pada tahun depan, kerajaan Pakatan Harapan akan menyalurkan bayaran khas sebelum hujung tahun 2018.  

6.08pm: Kerajaan akan memperuntukkan RM286.8 juta untuk perbelanjaan mengurus Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu peningkatan 18.5% daripada RM242.1 juta yang diperuntukkan tahun lepas.

6.05pm: Belanjawan 2019 akan memperuntukkan sejumlah RM314.5 bilion dalam perbelanjaan berbanding anggaran RM290.4 bilion peruntukan pada tahun 2018.

RM259.8 bilion adalah bagi Perbelanjaan Mengurus dan RM54.7 bilion lagi adalah untuk Perbelanjaan Pembangunan; tidak termasuk Simpanan Luar Jangka berjumlah RM2 bilion.

Di bawah Peruntukan Pembangunan, Sektor Ekonomi menerima agihan tertinggi sebanyak RM29.2 bilion yang merangkumi pengangkutan, perdagangan, industri, tenaga dan kemudahan awam dan pertanian.

Sektor Sosial akan menerima sejumlah RM15.2 bilion. Manakala, Sektor Keselamatan diperuntukkan RM7.1 bilion, dan Sektor Pentadbiran Am sebanyak RM3.2 bilion.

5.50pm: Kerajaan akan menyediakan Insentif Pengeluaran Getah dengan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi membantu mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil.

Pekebun kecil akan menerima sokongan pendapatan daripada IPG jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram

5.45 pm: Kerajaan akan melancarkan semula kempen "Beli Produk Malaysia". Lim berkata RM20 juta telah diperuntukkan untuk program itu, yang sebelum ini dilaksanakan semasa era Perdana Menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad pertama kali menjadi perdana menteri.

5.33pm: Menubuhkan Jawatankuasa Khas Bagi Kewangan Islam yang diketuai Kementerian Kewangan dan dianggotai BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Melanjutkan potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan kos tambahan apabila menerbitkan sukuk di bawah prinsip Ijarah dan Waka.

5.30pm: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.2 bilion bagi tahun 2019 berbanding RM1.1 bilion pada tahun 2018 bagi memastikan kemajuan syiar Islam tidak terjejas.

Sejumlah RM150 juta disediakan bagi melaksanakan program termasuk pembinaan masjid dan surau di seluruh negara, inisiatif ‘Khaira Ummah’ untuk melahirkan lebih ramai profesional di kalangan huffaz dan modul pembelajaran agama dengan penggunaan braille.

5.28pm: Pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara 2 peratus hingga 15 peratus daripada pendapatan bulanan peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

Pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman pekerja bagi tahun berakhir 2019, manakala potongan pinjaman kepada pelajar daripada isi rumah B40 yang mendapat keputusan kelas pertama.

Kerajaan juga akan menghapus kira baki hutang kepada peminjam yang berusia 60 tahun dan ke atas dan berpendapatan kurang daripada RM4,000 sebulan, yang memanfaatkan 350 peminjam dengan kos RM4.2 juta.

5.27pm: Meneruskan pemberian biasiswa dan pinjaman pelajaran dengan peruntukan RM3.8 bilion di mana RM2 bilion diperuntukan khusus kepada pelajar Bumiputera tajaan MARA.

5.25pm:  Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM100 juta bagi pembinaan semula sekolah daif di seluruh negara.

5.23pm: Peruntukan untuk sekolah pondok berdaftar sebanyak RM25 juta, sekolah tahfiz dapat RM50 juta. Berikut adalah jenis sekolah dan peruntukannya:

Sekolah Kebangsaan – RM250 juta;

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) – RM50 juta;

Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) – RM50 juta;

Sekolah Berasrama Penuh – RM50 juta;

Maktab Rendah Sains Mara – RM50 juta;

Sekolah Agama Bantuan Kerajaan – RM50 juta;

Sekolah Mubaligh – RM50 juta;

Sekolah Tahfiz – RM50 juta;

Sekolah Pondok yang berdaftar – RM25 juta;

Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) atau Conforming School – RM15 juta; dan

Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) – RM12 juta.

5.22pm: Kerajaan juga akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang, serta Lebuhraya Laluan Kedua di Johor dengan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20 juta setahun mulai 1 Januari 2019.

Sementara itu, kenaikan bayaran tol di semua lebuhraya dalam bandar akan dibekukan pada tahun 2019 yang melibatkan implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM700 juta.

5.18pm: Bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, kerajaan memperuntukkan RM240 juta untuk memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan yang meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Januari 2019. #Belanjawan2019.

5.08pm: Kerajaan bercadang untuk memperkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

Air minuman yang mengandungi gula tambahan atau bahan pemanis lain yang mengandungi gula melebihi 5 gram per 100 mililiter; dan jus buah-buahan dan sayur-sayuran yang mengandungi gula melebihi 12 gram per 100 mililiter.

5.02 pm: Memperkenal Skim Perlindungan Kesihatan (PEKA) dengan projek perintis pelaksanaan saringan kesihatan bagi golongan B40 berumur 50 tahun ke atas melibatkan 800,000 orang. Peruntukan sebanyak RM100 juta disediakan.

Kerajaan akan memperuntukkan hampir RM29 bilion untuk perkhidmatan kesihatan yang merupakan peningkatan sebanyak 7.8% berbanding tahun lepas. 

4.58pm: Pemberian bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada pesara yang masih menerima pencen kurang daripada RM1000 ringgit

4.50pm: Untuk menggalakkan pengambilan pekerja yang berumur lebih 60 tahun, kerajaan mencadangkan sumbangan mandatori KWSP dikurangkan daripada 6% hingga 4%.

Lim berkata kumpulan ini juga tidak akan memotong pendapatan mereka untuk sumbangan KWSP bagi menambah wang yang ada kepada mereka.

Terdapat juga insentif cukai untuk syarikat yang menggaji warga emas, dengan had gaji sebanyak RM4,000 sebulan.

Sementara itu, gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,100 mulai 1 Jan, 2019.

4.50pm: Bermula 1 Jan, 2019, pendapatan isi rumah di bawah RM2,000 akan mendapat RM1,000 dalam bentuk Bantuan Sara Hidup (BSH).

Isi rumah berpendapatan antara RM2,001 dan RM3,000 akan mendapat bantuan sebanyak RM700, manakala yang berpendapatan antara RM3,001 dan RM4,000 akan mendapat bantuan sebanyak RM500.

 Kerajaan juga akan menambah RM120 dalam BSH untuk setiap kanak-kanak di bawah 18 tahun, terhad kepada empat kanak-kanak, tidak termasuk kanak-kanak kurang upaya yang tidak mempunyai had umur.

Lim memberi contoh, pendapatan isi rumah di bawah RM2,000, yang mempunyai empat anak, akan menerima RM1,480 dalam bentuk BSH, lebih daripada RM1,200 yang diberikan di bawah BR1M.

Kerajaan telah memperuntukkan RM5 bilion untuk BSH.

4.48 pm: Kerajaan akan memulakan program khas pengakuan sukarela untuk pihak yang mempunyai pendapatan terdahulu yang tidak diisytiharkan.

Bagi pengisytiharan yang dibuat dari esok hingga 31 Mac, Lim berkata pembayar cukai hanya perlu membayar denda sebanyak 10 peratus daripada jumlah pendapatan tidak diisytiharkan.

Perisytiharan yang dibuat dari 1 April hingga 30 Jun akan dikenakan penalti sebanyak 15 peratus, manakala yang dibuat selepas program berakhir pada 30 Jun akan dikenakan denda antara 80 peratus hingga 300 peratus sebagaimana diperuntukkan di bawah undang-undang.

4.50pm: Kerajaan mengumumkan bahawa lesen kasino dinaikkan dari RM120 juta kepada RM150 juta. Duti kasino juga dinaikkan sehingga 35 peratus daripada pendapatan kasar.

Bagi lesen mesin judi, yuran lesen tahunan dinaikkan dari RM10,000 hingga RM50,000. Yuran duti dinaikkan dari 20 peratus hingga 30 peratus daripada pendapatan kasar.

Di samping itu, jumlah cabutan khas (special draw) dikurangkan sebanyak 50 peratus.

4.46pm: Kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen. RM2 bilion diperuntukkan dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 4 juta pemilik kereta dan 2.6 juta pemilik motosikal.

4.45pm: Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) akan dinaikkan kepada penduduk tempatan daripada 0 peratus hingga 5 peratus. Bagaimanapun, pengecualian akan dibuat untuk rumah kos rendah di bawah RM200,000.

Lim berkata RPGT untuk syarikat dan warga asing, yang bukan penduduk tetap, akan dinaikkan dari 5 peratus hingga 10 peratus.

Duti setem untuk hartanah melebihi RM1 juta akan dinaikkan dari 3 peratus kepada 4 peratus.

4.41pm: Bermula 1 Januari 2019 kerajaan akan mengenakan cukai perkhidmatan import untuk memastikan penyedia perkhidmatan tempatan seperti arkitek, pereka grafik, pemaju perisian dapat bersaing dengan lebih kompetitif.

Lim berkata perkhidmatan dalam talian yang diimport oleh pengguna juga perlu mendaftar dengan Jabatan Kastam. Ini termasuk perisian, muzik, video, atau sebarang pengiklanan digital.

4.40 pm- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan menyiasat semua kekayaan berlebihan melalui pemilikan barangan mewah seperti barang kemas, jam tangan, beg tangan, kereta dan hartanah mahal.

Ucapan Lim disampuk suara anggota parlimen pembangkang dari BN yang bertanya mengenai kes banglo miliknya.

4.35 pm: Mulai 1 Januari, 2019, kerajaan akan memberikan pengecualian SST kepada perkhidmatan khusus yang disediakan oleh perniagaan berdaftar kepada perniagaan berdaftar yang lain.

Menteri kewangan berkata kerajaan juga akan memperkenalkan sistem kredit potongan cukai untuk pengeluar kecil yang membeli bahan sumber dari pengimport dan bukan kilang berdaftar.

4.30pm: Menurut Lim kerajaan tidak akan membayar baki AS$ 4.32 bilion kepada IPIC dan Aabar sebaliknya menuntut AS$1.46 bilion yang telah dibayar atas alasan penipuan semasa perjanjian tersebut dimuktamadkan.

Kerajaan juga akan bekerjasama dengan kerajaan asing untuk mendapatkan wang tunai 1MDB yang telah dirampas. 

Kerajaan juga berjaya merampas semula kapal layar yang dibeli guna wang 1MDB, kata Lim sambil disambut tepukan meja oleh anggota-anggota parlimen.

4.20pm: Untuk tiga tahun akan datang, kerajaan berusaha mengurangkan defisit fiskal kepada 3.4 peratus pada 2019, 3 peratus pada 2020, dan 2.8 peratus menjelang 2021.

4.18pm: Kerajaan akan membentangkan Akta Kebentanggungjawaban Fiskal menjelang tahun 2021 bagi menghalang perbelanjaan tidak terkawal yang menciptakan hutang besar.

Kerajaan juga akan membentangkan Akta Perolehan Kerajaan pada tahun hadapan bagi memastikan ketelusan dan persaingan terbuka dalam perolehan kerajaan, serta memperkenalkan hukuman terhadap salah guna kuasa, kecuaian dan rasuah.

4.16pm: Kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu telah secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018

4.15pm: Lim menyebut mengenai nilai Ringgit yang meningkat berbanding negara-negara di Asia Tenggara. Menurutnya prestasi mata wang ringgit dan pasaran ekuiti menunjukkan pelabur asing kini yakin kepada kerajaan baru Pakatan Harapan.

4.05pm: Belanjawan 2019 bertemakan 'Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera'. Lim memulakan ucapan dengan menyatakan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia kerana menyelamatkan negara daripada kerajaan kleptokrasi kepada kerajaan yang demokratik'. 

Beliau turut menyebut mengenai hutang kerajaan yang kini mencecah angka RM1 trilion akibat 'kleptokrasi global'. Kedengaran suara anggota parlimen pembangkang mengganggu ucapan Lim.