Mahkamah Tinggi putuskan kes Moorthy pagi esok
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pagi esok permohonan keluarga pendaki Gunung Everest M Moorthy terhadap berhubung status agama Moorthy.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan pagi esok permohonan keluarga pendaki Gunung Everest M Moorthy terhadap berhubung status agama Moorthy.
Hakim Mohd Rauf Shariff berkata, beliau akan mengumumkan keputusannya pada jam 10 pagi esok kerana beliau perlu mengkajinya secara mendalam, kerana ia adalah kes besar dan kedua-dua pihak mengemukakan hujah yang panjang lebar.
Melalui saman itu, balu Moorthy S. Kaliammal, 30 memohon perisytiharan bahawa dia adalah isteri yang sah kepada Moorthy sehingga tarikh kematian.
Selain memohon perisytiharan bahawa Moorthy adalah seorang yang beragama Hindu dan mengikut adat serta agama itu sebelum kematiannya, Kaliammal memohon perisytiharan bahawa Moorthy bukan beragama Islam pada tarikh kematiannya.
Beliau turut memohon perisytiharan bahawa segala dokumen penukaran agama Moorthy kepada agama Islam adalah tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal.
Kematian Moorthy pada 20 Disember lalu mencetuskan kekecohan apabila mayatnya menjadi rebutan antara keluarga dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Majlis itu mendakwa Moorthy memeluk Islam pada 11 Oktober 2004 atas kerelaan sendiri.
Peguam: Tiada bukti
Dalam permohonannya hari ini peguam M Manoharan yang mewakili Kaliammal, berhujah bahawa MAIWP tidak dapat membuktikan secara jelas bahawa Moorthy telah memeluk Islam seperti yang didakwa majlis itu.
"Majlis tidak pernah mengeluarkan surat kepada mahkamah yang dapat membuktikan bahawa si mati seorang penganut Islam," katanya.
Beliau turut mempertikaikan mengenail afidavit yang dikemukakan oleh Setiausaha MAIWP, Che Mat Che Ali kerana beliau mendakwa, Che Mat tidak layak berbuat demikian.
"Siapakah beliau? Adakah beliau mempunyai pengetahuan sepenuhnya terhadap Moorthy? Beliau tidak layak kerana tidak mempunyai pengetahuan sepenuhnya dalam kes itu," katanya.
Beliau juga bertanya di manakah MAIWP ketika Moorthy dalam keadaan koma pada 11 Disember lalu dan siapakah yang membersihkannya ketika dia kedaaan menjadi kritikal?
Beliau berkata, Moorthy adalah seorang penganut Hindu sehingga dia meninggal dunia pada 20 Disember lalu dan mahu pengkebumiannya dilakukan mengikut adat agama Hindu.
Tiada locus standi
Manoharan berkata, dalam pengetahuan isterinya, tidak terdapat pengisytiharan atau pengumuman yang mengatakan Moorthy telah memeluk Islam.
Beliau berhujah lagi bahawa MAIWP juga tidak mempunyai locus standi kerana hanya orang perseorangan sahaja yang boleh membuat permohanan tersebut.
"MAIWP bukan `individu' dan kerana itu mereka tidak layak memohon. Mengapa mereka mahukan jenazah ini. Siapakah mereka? Moorthy adalah harta kepada waris terdekat," katanya.
Menurut Manoharan, MAIWP hanya kemukakan satu perintah dari Mahkamah Syariah dan sehubungan itu, peguam itu bertanya, bolehkah seorang Islam menuntut mayat seorang Islam yang lain.
Menurut Manoharan, sehingga ini, tiada dokumen mengenai tarikh sebenar Moorthy memeluk Islam dan sama ada dia (Moorthy) telah mematuhi Seksyen 85 hingga 95 undang-undang Islam.
Malah, katanya, Moorthy turut menyertai majlis sembahyang di Batu Caves dan berarak ke Kuil Sri Subramaniam dengan kerusinya diangkat oleh anggota Rela ketika perayaan Taipusam baru-baru ini.
'Sambut Deepavali'
Katanya, Moorthy juga mengambil minuman keras dan memakan daging khinzir ketika sambutan perayaan Deepavali yang lalu.
"Kalau benar Moothy memeluk Islam adakah ia dibuat atas dorongan yang tidak berpatutan memandangkan dia dalam keadaan tidak berupaya," katanya.
Katanya, ini kerana pada satu ketika pada tahun lalu, Moorthy pernah tidak dapat mencari jalan pulang dari Taman Sri Rampai kerana tidak ingat laluan kerana beliau hilang ingatan.
Manoharan juga berhujah bahawa pada 31 Oktober lalu, TV3 membuat temuramah dengan keluarga Moorthy, khususnya dengan si mati mengenai persiapan menyambut Deepavali.
Menurutnya, MAIWP harus memuaskan mahkamah bahawa si mati benar-benar telah memeluk Islam dan mengapakah mereka enggan mengemukakan sijil pengislaman Moorthy.
Sementara itu, Peguam MAIWP, Fakhrul Azman Abu Hasan pula berhujah, permohonan saman pemula tidak patut didengar oleh Mahkamah Tinggi ini, kerana menurutnya, Mahkamah Syariah mempunyai kuasa terhadap orang masuk dan keluar Islam.
Bidangkuasa MAIWP
"Bidangkuasa MAIWP itu adalah mengikut Seksyen 4,5 dan 7 Akta Undang-undang Islam," katanya.
Keputusan Mahkamah Syariah, hujahnya, tidak boleh dipertikaikan kerana ia bidangkuasa mahkamah berkenaan.
Menurutnya, pada 1 Disember lalu, seorang pegawai tentera Kementerian Pertahanan, Shukri Yahya telah memaklumkan kepada isteri si mati bahawa Moorthy telah memeluk Islam pada 11 Oktober 2004.
Katanya, Shukri juga memberitahu kepada isteri Moorthy bahawa jika Moorthy meninggal dunia, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) akan menguruskan jenazahnya.
"Mengapa isterinya tidak membantah penjelasan yang diberikan oelh Shukri itu?," katanya.
Hakim Mohd Rauf menegur peguambela (Fakhrul Azman) kerana gagal mengemukakan bukti secara bertulis bahawa Moorthy seorang Islam.
Dalam jawapannya, Fakhrul Azman berkata, Mahkamah Syaria telah memutuskan bahawa Moorthy adalah seorang Islam dan oleh itu tidak timbul lagi persoalan dia (Moorthy) bukan seorang Islam.
Selain Fakhrul Azman, MAIWP turut diwakili oleh Zainulrija Abu Bakar, manakala peguam lain yang mewakili keluarga si mati ialah A Sivanesan, R. Genghadevan, Mohan Ghandy dan M. Kulasegaran.
Peguam yang mewakili Jabatan Peguam Negara ialah Nasir Desa, Suzana Atan, Hassan Abdul Rahman dan Arik Sanusi Yeop Johari.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.