Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

ULASAN | Dr Hayati Ismail pada 31 Oktober 2018 menulis sebuah ulasan terbitan Utusan Malaysia menerusi segmen Anjakan Minda, mengatakan berlambak maklumat dan berita yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan sehingga boleh mencelarukan 421,828 orang guru.

Saya mengikuti secara dekat perubahan yang sangat didambakan oleh semua rakyat Malaysia terutama sekali ibu bapa kepada 5,074,612 murid yang berdaftar di 10180 buah sekolah di seluruh Malaysia.

Perubahan tidak berlaku dengan mudah. Tiada negara-negara maju yang tinggi kualiti pendidikannya mengambil masa kurang setahun untuk bergerak ke arah itu. Jangan lupa kepada Finland yang mengambil masa lebih daripada 30 tahun untuk menjadi antara negara yang paling terbaik sistem persekolahan mereka.

Walaupun Finland ialah Finland dan Malaysia ialah Malaysia, dokumentari berjudul The Finland Phenomenon: Inside the World's Most Surprising School System hasil kerja keras Tony Wagner mampu memahamkan kita bertapa ranjau ditempuh sangat sukar demi mencapai hujung yang manis.

Dan kita semua sedang bergerak ke arah itu. Lambat atau cepat, bergantung kepada pengamatan masing-masing. Tetapi untuk kecewa dan menghentikan perubahan, saya yakin, rakyat Malaysia lebih baik daripada itu.

Menyorot kembali apa yang telah berlaku dalam sistem pendidikan kita; tidak dapat kita nafikan Kementerian Pendidikan, di sebalik kasut hitam dan stoking yang sangat diminati oleh pembangkang hari ini, adalah antara kementerian yang paling banyak inisiatif selepas 100 hari memerintah.

Dan sehingga hari ini, lebih daripada 60 inisiatif sama ada daripada low hanging fruits sehinggalah kepada perkara-perkara yang bersifat dasar dan subtantif.

Persoalannya, bagaimana perubahan perlu digarap dengan kemas, teratur dan menyeluruh?

Memandangkan media era #malaysiabaru ialah media yang lebih bebas dan terbuka, tidak ada kementerian yang boleh memaksa media untuk melaporkan apa yang ingin mereka laporkan.

Sepuluh pengumuman yang dibuat dengan penjelasan dan susunannya yang teliti, hanyadua sahaja yang menjadi pilihan dan selera media.

Dan kita sebagai rakyat Malaysia yang juga bebas, perlulah mengambil sedikit masa untuk membaca, meneroka dan menjadi penyelidik sambilan. Kita sendiri yang perlu menyusun semua capahan info menjadi suatu naratif yang dapat kita faham.

Ketika Dr Maszlee Malik diumumkan menjadi menteri pendidikan, wawancara pertama beliau diadakan secara langsung di Astro Awani. Beliau telah mengumumkan tiga nilai yang ingin dijadikan teras perubahan; iaitu kasih-sayang (love), kegembiraan (happiness), dan saling hormat menghormati (mutual respect).

Kita barangkali menanti hala tuju yang bersifat dasar dan sistemik, namun beliau berpendapat sebaliknya. Dasar dan polisi sentiasa berubah mengikut siapa pembuatnya. Namun budaya atau apa yang boleh kita sebut sebagai sistem nilai, adalah asas yang lebih kekal.

Bermula daripada situ, kita dapat memahami bahawa perjalanan perubahan ini akan wujud dalam nuansa tiga teras nilai ini. Bermula dengan apa yang beliau sebutkan di Ucapan Penggulungan Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 iaitu semua perubahan yang dibuat akan mengutamakan pendekatan bottom-up berbanding top-down.

Sememangnya pendekatan bottom-up akan menghadapi satu cabaran, iaitu masa. Bagaimana mahu mengoptimumkan suara 421,828 orang guru dan memastikan perubahan yang dibuat disambut secara menyeluruh, dan dilaksanakan dengan baik dan seimbang di semua peringkat? Itulah persoalan yang sangat mengerikan, dan kita tiada pilihan lain selain menjawabnya juga.

Nilai menjadi asas yang sangat ditekankan oleh pendidikan era #malaysiabaru ini, dan kita boleh meninjaunya di banyak tempat – bermula daripada tiga bentuk agenda reformasi yang diutamakan iaitu (1) pendidikan berteraskan nilai dan kemanusiaan, (2) meningkatkan kualiti dan (3) autonomi dan akauntabiliti.

Bolehlah kita katakan inilah tiga objektif yang ingin dicapai oleh menteri pendidikan kita.

Jadi, sebagai seorang rakyat Malaysia, kita kena petakan sektor pendidikan kita ini supaya setiap saranan mahupun kritikan kita mendarat di lapangan yang betul. Kita mempunyai prasekolah, sekolah rendah dan menengah, IPTA dan IPTS, dan tidak lupa juga TVET yang sangat memerlukan agenda reformasi.

Semua sektor ini perlu diselarikan dalam agenda reformasi.

Pendidikan ialah hak asasi dan milik setiap rakyat Malaysia. Perubahan dalam pendidikan bagaikan mimpi menjadi realiti.

Setuju ataupun tidak; kementerian telah menunjukkan kesungguhan untuk memastikan beban guru dan murid diringankan selari dengan dua perkara besar yang akan berlaku tahun 2019 nanti; (1) beban kerja perkeranian guru akan diringankan dan (2) peperiksaan bagi Murid Tahap 1 (melibatkan tahun 1,2 dan 3) akan dimansuhkan dan akan digantikan dengan pentaksiran yang lebih objektif.

Sebagai rakyat Malaysia, kita kena faham bahawa perubahan dalam sistem pendidikan bukan perubahan yang mudah dan segera sifatnya. Perubahan dalam pendidikan ibarat mencorak masa hadapan. Perubahan perlu teliti dan tepat. Tersilap langkah, kita cuma bagaikan tikus membaiki labu.


HAFIZUL FAIZ ialah penulis buku Surat-surat Dari Maninjau dan Yang Singgah dan Pergi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS