Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Duti setem rumah pertama dikecualikan
Diterbitkan:  Nov 2, 2018 7:44 PM
Dikemaskini: 11:44 AM

BELANJAWAN 2019 l Kerajaan mencadangkan pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik bagi pembelian rumah pertama, berharga antara RM300,001 sehingga RM1 juta, berkuatkuasa bagi tempoh enam bulan mulai 1 Januari, 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata ini akan menjadi sebahagian daripada Kempen Pemilikan Rumah Kebangsaan yang mana pemaju akan menawarkan potongan diskaun 10 peratus ke atas harga hartanah kediaman projek sedia ada.

Dalam ucapan Belanjawan 2019 bertemakan ‘Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera’ yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata cadangan pengecualian duti itu adalah untuk menangani isu lebih hartanah kediaman.

Sehingga 31 Mac 2018, terdapat lebihan hartanah kediaman bernilai RM22 bilion, meningkat 65 peratus berbanding RM13.3 billion pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, sebagai bukti kesediaan kerajaan untuk meneroka mekanisme baru berasaskan teknologi dan inovasi untuk menyelesaikan masalah perumahan, kerajaan akan membenarkan platform penjanaan dana masyarakat yang dipacu oleh sektor swasta.

Lim berkata platform itu akan menjadi sumber alternatif bagi pembelian rumah pertama yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti melalui pinjaman terbuka antara rakan setara.

Sebagai contoh, pembeli boleh membeli hartanah terpilih dengan bayaran 20 peratus nilai hartanah manakala baki 80 peratus akan dibiayai oleh pelabur yang ingin mendapat pulangan kenaikan nilai hartanah berkenaan untuk suatu tempoh masa.

Beliau berkata inovasi kewangan itu merupakan yang pertama di dunia dan sekiranya berjaya ia akan membolehkan pemilikan rumah yang lebih meluas oleh pembeli rumah pertama di negara ini.

“Platform pertama ini dijangka dilancarkan pada suku pertama 2019, setelah semua kelulusan diperoleh daripada Suruhanjaya Sekuriti,” kata beliau.

 

- Bernama

Lihat Komen
ADS