Cadangan untuk memberi galakan cukai pendapatan kepada majikan yang menggaji warga emas dan bekas banduan bukan sahaja mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, tetapi juga satu inisiatif terbaik bagi membantu golongan itu kembali ke alam pekerjaan.
Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata peluang kedua yang diberikan kepada bekas banduan misalnya, dilihat mampu menangani masalah jenayah berulang melibatkan golongan itu.
“Sebelum ini, masyarakat terutamanya majikan agak skeptikal dengan mereka yang bergelar bekas banduan sehinggakan mereka (bekas banduan) tiada peluang untuk mendapatkan pekerjaan.
“Ini menyebabkan golongan ini kembali melakukan aktiviti jenayah…tetapi dengan apa yang diumumkan hari ini, mereka seperti diberikan ‘nafas’ baharu untuk memulakan kehidupan,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas pembentangan Belanjawan 2019 oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam.
Bagi menggalakkan syarikat menggaji warga emas berumur 60 tahun ke atas atau bekas banduan sebagai pekerja sepenuh masa, kerajaan dalam Belanjawan 2019 mencadangkan potongan tambahan diberi kepada syarikat yang menggaji pekerja dalam kategori tersebut.
Langkah itu yang dicadang dikuatkuasakan mulai tahun taksiran 2019 hingga 2020 adalah bagi penggajian pekerja dalam kategori tersebut yang menerima saraan bulanan tidak melebihi RM4,000.
Mengulas lanjut, Lee berkata inisiatif itu akan mengurangkan sikap kebergantungan negara kepada khidmat pekerja asing.
“Tidak ramai yang nak bekerja dalam sektor tertentu seperti perladangan dan pembinaan, justeru majikan boleh menggunakan khidmat bekas banduan ini yang secara tidak langsung menjimatkan majikan serta mengurangkan penggunaan khidmat pekerja asing.
“Kebanyakan bekas banduan ini diberi kemahiran yang sesuai ketika dalam penjara, jadi majikan tidak perlu bimbang akan kemahiran yang mereka miliki,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata pelaksanaan inisiatif itu harus dilakukan secara sinergi bersama Jabatan Penjara Malaysia bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini.
“Pendedahan, nasihat serta pemantauan dari Jabatan Penjara terhadap majikan dan bekas banduan amat penting agar kedua-dua pihak dapat memahami satu sama lain,” katanya.
- Bernama
