Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anabolic steroid boleh mengundang maut
Diterbitkan:  Nov 3, 2018 2:50 PM
Dikemaskini: 6:53 AM

Sedar atau tidak, pengambilan suplemen atau suntikan yang mengandungi Anabolic Steroid berlebihan boleh mengundang kepada kematian kerana dadah berkenaan boleh mempengaruhi psikologi dan perwatakan seseorang menjadi agresif.

Anabolic Steroid digunakan untuk membina otot dan ubat-ubatan, suplemen serta suntikan yang mengandungi bahan ini bukan sahaja digunakan atlet tetapi menjadi pilihan masyarakat luar iaitu lelaki yang mahu membina otot lebih besar.

Lebih membimbangkan,Ketua Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz. mendedahkan peratusan atlet negara ‘kantoi’ doping kebanyakannya mengambil bahan larangan tersebut semakin meningkat dan tanpa sedar ia mampu menjadi pembunuh dalam diam.

Dr Ramlan mempunyai pengalaman hampir 30 tahun dalam bidang perubatan dan sains sukan bermula sebagai pegawai perubatan di Institut Sukan Negara (ISN) berkata pengambilan dadah jenis Anabolic Steroid boleh merosakkan organ dalaman, malah merubah perwatakan seseorang itu menjadi agresif.

"Fizikal seseorang yang mengambil Anabolic Steroid akan merosakkan beberapa organ badan seperti hati,ginjal. Otot pula lebih senang koyak kalau atlet mengambil Anabolic Steroid secara berpanjangan.

“Dari segi psikologi pula, atlet akan mengalami perubahan perlakuan dia dimana lebih agresif dan tidak mendengar nasihat, selalu nak bergaduh. Ia juga akan memberi masalah untuk mendapat zuriat," katanya eksklusif kepada Bernama baru-baru ini.

Itu baharu Anabolic Steroid, belum lagi beberapa kategori dadah yang cukup popular dalam sukan antaranya Erythropoietin (EPO), Diuretic, Analgesic Narcotic dan ubat perangsang.

Dr Ramlan berkata dadah jenis itu digunakan untuk tujuan perubatan namun sekiranya atlet tidak sedar setiap suplemen atau suntikan yang digunakan mengandungi bahan-bahan itu secara berlebihan ia bukan sahaja menjejaskan prestasi tetapi reputasi atlet itu sendiri.

"Kalau atlet atau individu itu mengambil secara berlebihan, ini akan memberi masalah kepada sistem kardiovaskular dan menyebabkan nadi jantung kita terlalu cepat. Ataupun dia ada gangguan dari segi rhythm dan ini boleh menyebabkan kematian kalau ia disalahgunakan pada tahap yang tinggi," jelasnya.

Atlet negara diminta merujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN) mengenai makanan tambahan yang diambil dan tidak sewenang-wenangnya menerima sebarang suplemen daripada pihak luar sekiranya mahu menjadi atlet berprestasi tinggi bermaruah.

Sepanjang tahun 2018 Adamas mengesan 13 ujian didapati positif. Ia membabitkan lapan kes daripada sukan angkat berat, satu kes masing-masing dari sukan bola sepak, olahraga, renang, bina badan dan judo. Ia menunjukkan peningkatan kes sebanyak 0.5 peratus berbanding 2017 iaitu lima kes positif.
- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS