Mahkamah Tinggi tolak permohonan isteri Moorthy
Permohonan S. Kaliammal - isteri wira Gunung Everest, M. Moorthy untuk mengatakan suaminya tidak memeluk Islam ditolak oleh Mahkamah Tinggi kerana mahkamah sivil tidak mempunyai kuasa untuk membicarakan kes yang membabitkan agama Islam.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Raus Shariff ketika membuat keputusan berkata, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengenepikan keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah.
"Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah mempunyai sistem yang berbeza tetapi dalam soal agama Islam ia di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah dan mahkamah ini tidak mempunyai hak untuk mengenepikannya.
"Mahkamah ini tidak mempunyai hak untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Syariah dan keputusan itu terpaksa dipatuhinya," katanya.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu bermakna Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan dibenarkan menuntut mayat Moorthy dari Hospital Besar Kuala Lumpur dan akan dikebumikan secara Islam.
Kaliammal juga memohon perisytiharan mahkamah tinggi bahawa dia adalah isteri yang sah kepada Moorthy sehingga tarikh kematian.
Selain memohon perisytiharan bahawa Moorthy adalah seorang yang beragama Hindu dan mengikut adat serta agama itu sebelum kematiannya, Kaliammal memohon perisytiharan bahawa Moorthy bukan beragama Islam pada tarikh kematiannya.
Beliau turut memohon perisytiharan bahawa segala dokumen penukaran agama Moorthy kepada agama Islam adalah tidak sah di sisi undang-undang dan terbatal.
Pada hari Khamis lalu, Mahkamah Syariah Kuala Lumpur membuat keputusan bahawa Moorthy adalah seorang penganut Islam dan hendaklah dikebumikan mengikut syariat Islam.
Kemuka rayuan
Mohd Raus berkata, Akta 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyebut Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa mengenai agama Islam kerana ia dikendalikan oleh Mahkamah Syariah.Sementara itu, peguam M. Manoharan berkata, pihaknya akan membuat rayuan di mahkamah rayuan kerana menurutnya peluangnya masih ada.
"Kami telah diarahkan supaya membuat rayuan tersebut dengan segera dan akan memfailkannya petang ini juga," katanya kepada pemberita
Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum kalah dan menegaskan bahawa sesiapapun tidak boleh mengambil mayat Moorthy.
Menurutnya, keluarga Moorthy sangat sayang kepadanya dan merasakan `dia tetap beragama Hindu.
Kaliammal yang turut berada di dalam mahkamah kelihatan sedih tetapi tidak menangis apabila Hakim Mohd Rauf mengumumkan keputusan tersebut.
Mengulas keputusan hakim itu, Presiden Persatuan Peguam Syarie Muhamad Burok berkata, ia menunjukkan kedua-dua mahkamah - Mahkamah Syarie dan mahkamah sivil - saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Katanya, ini menunjukkan sistem perundangan yang ada sekarang berjalan sempurna dan ia memberi kebaikan kepada rakyat.
Moorthy, 36, meninggal dunia pada Selasa lalu di Hospital Kuala Lumpur setelah mengalami masalah penafasan.
Bekas tentera itu lumpuh sejak tujuh tahun lalu selepas kemalangan semasa menjalani latihan di kem Sungai Udang. Melaka.
Moorthy menyertai tentera pada 1988 dan merupakan salah seorang daripada 10 rakyat Malaysia yang menyertai pasukan Everest Malaysia.