BERITA

Akhbar Umno: Najib bohong, perlu mohon maaf pada ahli

Diterbitkan
Dikemaskini 4 Nov 2018, 2:49 tengahari

Akhbar Utusan Malaysia milik Umno melancarkan serangan terhadap bekas presiden parti Datuk Seri Najib Razak mendakwa beliau berbohong kerana tidak tahu sumber wang yang didepositkan ke dalam akaun banknya.

Sebelumnya, Najib mendakwa wang itu merupakan "derma" daripada keluarga diraja Arab Saudi.

Pojok Awang Selawat dalam Mingguan Malaysia hari ini mengatakan pembohongan Najib itu terbongkar ketika wawancara terbaru Al Jazeera dan beliau perlu memohon maaf kepada semua ahli Umno.

"Pendedahan Najib Razak yang beliau sebenarnya tidak tahu sumber wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya menyebabkan rakyat Malaysia terutamanya ahli Umno berasa tertipu kerana selama ini mereka menerima kenyataan beliau bahawa wang itu sebenarnya adalah sumbangan daripada kerajaan Arab Saudi.

"Adalah tidak masuk akal yang Najib tidak tahu dari mana sumber sebenar jumlah wang yang besar itu...Akhirnya pembohongan Najib terbongkar dalam wawancara bersama Mary Ann Jolley dalam siaran Al Jazeera baru-baru ini.

"Najib harus memohon maaf kepada semua ahli Umno kerana pembohongan inilah sebenarnya yang telah menghilangkan keyakinan rakyat kepada kepimpinan BN dan akhirnya menyebabkan parti komponen itu hilang kuasa memerintah," kata Awang Selamat.

Awang Selamat hari ini menggunakan pembayang pantun dua kerat, "siakap senohong, gelama ikan duri..." sebagai judul pojoknya.

Sementara pada penghujung ruangan itu, Awang Selamat menyimpulkan maksud pembayang pantun yang malar segar itu.

"Bukan semua pencuri itu pembohong tetapi mereka yang berbohong itu selalunya mencuri," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.