Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Sembilan Tan Sri Rais Yatim mempertikai larangan berpantun dalam majlis rasmi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Berkongsi surat dipercayai pekeliling larangan tersebut di laman Twitternya, Rais turut menggesa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta golongan sasterawan supaya berbuat sesuatu.
“Baca surat ini. Takkanlah Melayu dah begitu daif budaya sendiri hinggakan nak berpantun pun dihalang.
“Kini tentera tak dibenarkan guna pantun dalam skrip. Dewan Bahasa (dan Pustaka) kamu buat apa? Sasterawan-sasterawan negara, pejuang-pejuang bahasa tunggu apa lagi?,” tulisnya di Twitter, semalam.
Surat bertarikh 2 November lalu ditandatangani Ketua Staf Markas ATM, Datuk Kamalruzaman Mohd Othman menyebut arahan larangan penggunaan pantun di dalam skrip juruacara majlis rasmi ketenteraan ATM.
“Satu perbincangan bersama Panglima Angkatan Tentera (Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin) telah diadakan berhubung kewajaran penggunaan pantun di dalam skrip juruacara semasa berlangsungnya majlis-majlis rasmi ketenteraan," jelasnya dalam pekeliling tersebut.
Malaysiakini sedang cuba berusaha menghubungi Kamalruzaman untuk mendapatkan penjelasan mengenai larangan itu.
