Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nazri: SPRM yang bersihkan Musa, bukan saya
Diterbitkan:  Nov 6, 2018 5:52 PM
Dikemaskini: 9:52 AM

Datuk Seri Nazri Aziz menafikan kenyataan Datuk Seri Musa Aman bahawa beliau telah membersihkan nama bekas ketua menteri Sabah itu daripada kesalahan rasuah, ketika menjadi menteri di jabatan perdana menteri pada 2012.

Menurut laporan The Malaysian Insight, Nazri berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebenarnya yang membersihkan Musa.

Beliau berkata kenyataan yang dibuat olehnya di Parlimen adalah daripada SPRM.

"Ia adalah SPRM, bukannya saya. Saya tidak boleh membuat kenyataan peribadi kerana SPRM merupakan badan bebas.

"Sebagai menteri (ketika itu), saya tidak boleh campur tangan dengan keputusan SPRM. Kenyataan saya adalah berdasarkan kepada perkara yang mereka mahu saya umumkan," katanya seperti dipetik.

Pada 5 November lalu, Musa yang dihadapkan dengan 35 pertuduhan rasuah berkata semua pertuduhan itu adalah "kes lama".

"Kes ini telah diselesaikan sebelum ini, kira-kira 10 ke 14 tahun lalu. Kenapa menjadi isu lagi? Nazri yang menjadi menteri bertanggungjawab dalam urusan parlimen pada waktu itu telah membersihkan kes ini...Tidak ada kes terhadap saya," katanya.

Nazri berkata Musa tidak sepatutnya mengaitkan namanya kerana ketika itu beliau tiada kuasa ke atas SPRM sebagai sebuah badan bebas.

"Adalah salah baginya untuk menyebut nama saya kerana ketika itu saya hanya merupakan seorang menteri,” katanya.

Musa berdepan 35 pertuduhan rasuah kerana didakwa menerima RM253 juta rasuah berkaitan kontrak pembalakan.

Ketua pendakwaan kes itu Datuk Seri Gopal Sri Ram berkata beliau merasa pelik Musa tidak didakwa lebih awal memandangkan beliau sudah disiasat oleh SPRM.


Lihat Komen
ADS