Kerajaan Persekutuan perlu menjalankan penyelidikan terperinci berhubung cukai pelepasan yang dicadangkan ke atas pelawat yang hendak berlepas keluar dari negara sebelum dilaksanakan pada 1 Jun hadapan kerana langkah itu akan memberi kesan kewangan kepada yang akan keluar negara bagi tujuan bukan melancong.
Setiausaha Agung Kehormat Persatuan Hotel-hotel Malaysia (MAH) bahagian Sarawak John Teo Peng Yew berkata walaupun tujuan utama cukai itu adalah untuk menggalakkan pelancongan domestik, kerajaan persekutuan seharusnya menimbangkan atau mengkaji beberapa kriteria supaya ia tidak akan membebankan mereka yang berlepas ke luar negara, terutama dari kalangan golongan berpendapatan rendah.
“Kerajaan Persekutuan seharusnya melihat kepada rakyat berpendapatan rendah yang keluar negara bagi tujuan melanjutkan pelajaran dan sebagainya, yang tidak berkaitan dengan pelancongan,” katanya kepada Bernama di sini.
Teo berkata cukai pelepasan bukan perkara baru dalam industri penerbangan kerana kebanyakan negara memang mengenakan cukai yang sama antara US$20 (sekitar RM83.32) dan US$60 (sekitar RM250), namun pelaksanaan cukai itu memberikan impak yang minima kepada pelancongan domestik.
Bagaimanapun beliau berharap kutipan daripada cukai pelepasan akan digunakan bagi meningkatkan kemudahan yang berkaitan dengan pelancongan seperti meningkatkan liputan wifi bagi memenuhi keperluan pelancong yang memerlukannya.
Sebagai tambahan, beliau berkata dengan hasil daripada cukai pelepasan itu, Kerajaan Persekutuan seharusnya meningkatkan kemudahan di pintu masuk utama negara bagi memastikan pelepasan kastam dan imigresen lebih pantas.
“Diharapkan juga lebih ramai polis pelancong akan disediakan di beberapa tempat tumpuan supaya pelancong akan merasa selamat kemana sahaja mereka pergi, di samping membanyakkan lagi usaha membaiki kemudahan pelancongan yang rosak,” katanya.
Sementara itu bagi meningkatkan industri pelancongan Sarawak, Teo berkta kerajaan negeri tidak seharusnya hanya memberi tumpuan kepada bandaraya Kuching semata-mata.
“Kita dapat lihat banyak pembangunan pelancongan ditambah kepada banda raya Kuching sahaja, manakala di bandaraya Miri, tidak banyak yang ditambah sejak kira-kira 13 tahun yang lepas,” katanya.
- Bernama
