Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib: Bohong kata saya turun semua tambah kukuh
Diterbitkan:  Nov 7, 2018 7:55 AM
Dikemaskini: 11:55 PM

Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata fenomena jika beliau sudah tidak berkuasa menjadikan negara bertambah kukuh sebagai suatu pembohongan HARAPAN yang menggambarkan keadaan negara semuanya baik.

"Dalam bahasa mudahnya, kerajaan HARAPAN cuba beri gambaran semuanya okay, tapi sebenarnya hasil 'kecekapan' mereka uruskan negara, keadaan negara dan ekonomi kita semakin teruk.

"Fenomena 'jika Najib Razak turun maka semuanya bertambah kukuh' satu pembohongan dan tidak benar sama sekali.

"Yang kukuh cuma gaji RM berjuta menteri-menteri hari ini," dakwa Najib pada suatu hantaran di Facebook malam tadi.

Kenyataannya itu disertakan laporan badan kajian Fitch Solutions Macro Research yang menurut Najib mewajarkan analisisnya sebelum ini mengenai prestasi ekonomi pentadbiran Pakatan Harapan.

"Fitch kata, bukan Najib Razak. Walaupun saya telah memberi amaran dan analisis sama beberapa bulan ini," katanya.

Unjuran kerajaan terlalu optimistik

Antara lain, beliau menegaskan laporan itu mengatakan pergantungan Belanjawan 2019 dengan hasil minyak menimbulkan risiko terhadap usaha kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal (khususnya hasil dan pendapatan) negara.

Di samping itu, beliau juga mengatakan Fitch Research beranggapan unjuran kerajaan mengenai pertumbuhan KDNK sebanyak 4.9 peratus pada tahun depan sebagai terlalu optimistik.

Sebaliknya, ia menjangkakan pertumbuhan KDNK pada kadar purata 4.4 peratus setahun antara 2019 dan 2011, berbanding unjuran kerajaan kira-kira lima peratus.

Dalam hantaran itu juga, Najib menjelaskan Fitch Research mengekalkan ramalan defisit belanjawan pada tahun depan akan menjadi 3.7 peratus daripada KDNK, walaupun kerajaan telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkannya sehingga 3.4 peratus.

Bekas presiden Umno itu juga memetik laporan yang mengatakan bahawa ekonomi Malaysia menghadapi kelembapan dan terdedah kepada kejutan daripada persekitaran luaran yang semakin tidak menentu.

Fitch Solutions bergabung dengan agensi penarafan Fitch Ratings Inc, tetapi mengatakan laporannya dihasilkan secara bebas tanpa sebarang input daripada Fitch Ratings.

Pemotongan subsidi tak popular

Perkara-perkara lain yang disebut dalam laporan itu, tetapi tidak dipetik oleh Najib, termasuk jangkaan langkah-langkah cukai tambahan kerajaan tidak akan dapat menjana banyak hasil pendapatan.

Fitch Research merujuk kepada cukai yang dicadangkan mengenai minuman bergula dan penerbangan antarabangsa.

Ia juga menyatakan bahawa kerajaan telah membuat pemotongan bermakna terhadap subsidi, tetapi mempertaruhkan popularitinya dalam berbuat demikian.

Justeru, segalanya masih diperhatikan jika kerajaan akan terus memotong subsidi jika kehilangan sokongan.

Menurut laporan itu lagi, walaupun Belanjawan 2019 jauh lebih besar daripada 2018, sebahagian besar kenaikan itu disebabkan oleh rancangan kerajaan untuk mengeluarkan RM37 bilion untuk membayar tunggakan dalam GST dan bayaran balik cukai pendapatan.

"Tidak termasuk pembayaran balik cukai, yang kemungkinan dibayar sekali sahaja, belanjawan itu sebenarnya, 4.4 peratus lebih kecil daripada 2018 yang memperuntukkan RM277.6 bilion.

"Perbelanjaan yang menyaksikan pemotongan paling jelas ialah 'perbekalan dan perkhidmatan' (dipotong 20.4 peratus menjadi RM29.1 bilion) dan 'subsidi dan bantuan sosial' (dipotong 20.8 peratus menjadi RM22.3 bilion)," katanya.

Ia berkata subsidi yang dikurangkan sebahagian besarnya itu disebabkan daripada rancangan untuk meletakkan harga bahan api pada sistem apungan terurus dan untuk mengurangkan bayaran tunai secara terus melalui Bantuan Sara Hidup.

Bagi "bekalan dan perkhidmatan", kerajaan berkata pengurangan itu disebabkan pengkelasan semula masa-masa tertentu "berkaitan dengan pelaburan modal" dan "memberi keutamaan semula terhadap projek-projek."

"Walau bagaimanapun, tanpa butiran lanjut, sukar untuk menentukan dengan tepat berapa banyak hal-hal ini dapat menjimatkan kos," katanya.

 

 

Lihat Komen
ADS