Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mohd Amar: RM50 juta untuk sekolah tahfiz tak cukup

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah beranggapan peruntukan RM50 juta kerajaan pusat kepada sekolah tahfiz di seluruh negara menerusi Belanjawan 2019 masih tidak mencukupi.

Menurut beliau, walaupun angka berkenaan dilihat agak besar, hakikatnya ia tetap kecil kerana sekolah tahfiz dan sekolah agama di negara ini terlalu banyak.

"Memang jumlah RM50 juta kita lihat besar, tapi sekolah tahfiz dan agama banyak, jadi setiap sekolah hanya dapat dalam jumlah yang sedikit," kata beliau.

Sepatutnya kata Mohd Amar kerajaan kerajaan pusat tidak boleh menyediakan peruntukan dalam jumlah yang sama kepada sekolah agama dan tahfiz, serta sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) serta sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Mohd Amar yang juga naib presiden PAS berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri di Kompleks Darulnaim di Kota Bharu, hari ini.

Pada 2 Nov lalu Menteri Kewangan Lim Guan Eng membentangkan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat dengan memperuntukan RM652 juta untuk keperluan sekolah-sekolah pelbagai aliran di negara ini.

Jumlah peruntukan untuk sektor yang sama pada Belanjawan 2018 ialah RM615 juta.

Peruntukan kali ini melibatkan sekolah kebangsaan sebanyak RM250 juta, dan masing-masing RM50 juta untuk SJKC, SJKT sekolah berasrama penuh, Maktab Rendah Sains MARA, sekolah mubaligh, sekolah agama bantuan kerajaan dan sekolah tahfiz berdaftar.

Dana sebanyak RM25 juta pula disediakan untuk sekolah pondok berdaftar, selain sekolah menengah jenis kebangsaan sebanyak RM15 juta dan sekolah menengah persendirian Cina RM12 juta.

Mohd Amar berkata, kerajaan pusat sewajarnya menyalurkan peruntukan tersebut mengikut keperluan dan mengambil kira jumlah sekolah tahfiz yang ada.

"Ini kerana sekolah agama dan tahfiz memang banyak kekurangan dari segi kemudahan dan infrastruktur," katanya yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Panchor.

Lihat Komen
ADS