Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan lawatannya ke Julau, Sarawak, Sabtu lalu adalah mengikut jadual yang sudah sekian lama dirancang dan tiada kaitan langsung dengan pemilihan PKR.
Sehubungan itu, Wan Azizah yang juga adalah timbalan perdana menteri menafikan lawatan berkenaan adalah bertujuan bagi membantu kempen 'individu' tertentu yang bertanding dalam pemilihan PKR.
Malah katanya, beliau tidak terbabit dengan pemilihan parti itu kali ini.
"Kalau ikut jadual, ia selepas pemilihan (PKR), tak jadi isu," katanya ketika ditemui ketika mengadakan lawatan kerja ke Sekolah Tunas Bakti, Sungai Besi, di Kuala Lumpur, pagi tadi.
Hadir sama pada program itu, adalah anggota Parlimen Wangsa Maju, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew dan anggota Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil.
Semalam, Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya mempersoalkan lawatan presiden PKR itu ke Julau, Sabtu lalu
Menyifatkan lawatan itu sebagai tidak wajar, Latheefa mendakwa Wan Azizah menggunakan jentera kerajaan untuk melawat negeri itu atas kapasiti sebagai timbalan perdana menteri serta menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.
Latheefa berkata, lawatan Wan Azizah ke Julau melibatkan penggunaan kedudukan rasmi dan aset kerajaan selain turut mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk jalan di Julau.
Ditanya sama ada kritikan itu dibuat Lathefaa kerana merasakan beliau berkempen untuk individu tertentu khususnya, Naib Presiden PRK, Rafizi Ramli.
"Saya tidak kempen sebenarnya, saya pun tidak bertanding...sebenarnya (ikut jadual) saya pergi selepas pemilihan parti, tetapi kebetulan (pemilihan parti) ditangguhkan," katanya.
Mengulas mengenai peruntukan yang diluluskan untuk jalan di Julau, Wan Azizah berkata kawasan itu istimewa kerana menjadi pengeluar produk lada hitam yang berkualiti.
