Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Beberapa perkara dalam Belanjawan 2019 perlu diberikan penjelasan lanjut agar tidak tergolong dalam “perkara kelabu” yang boleh mendatangkan kecurigaan rakyat.

Menurut Profesor Adjung Universiti Selangor (Unisel) Dr Zaharuddin Abdul Rahman, terdapat item “projek khas” yang menerima peningkatan hampir RM689 juta tanpa ada perincian yang dibuat.

“Sebagai contoh, dalam 'projek khas' bawah kementerian hal ehwal ekonomi.

“Dahulu peruntukannya RM11 juta, kini meningkat kepada RM700 juta.

“Di bawah Jabatan Perdana Menteri pun ada peruntukan ini sebanyak RM100 juta,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian dalam Dialog Belanjawan 2019 yang diadakan di Institut Darul Ehsan, Shah Alam.

Dialog itu turut dijayakan dua lagi panel iaitu Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri Datuk Hadzir Md. Zain dan Pegawai Dasar Ekonomi dan Korporat Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Zulkufli Zakaria.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Rashid Hasnon serta Presiden Unisel Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Sementara itu, rata-rata panel bersetuju bahawa Belanjawan 2019 lebih inklusif, memberi tumpuan terhadap golongan 40 berpendapatan berpendapatan rendah (B40) serta komited untuk meningkatkan ketelusan dengan mengamalkan tender terbuka.

Bagaimanapun, untuk perlaksanaan tender terbuka, mereka senada bahawa perhatian harus diberikan agar penyalahgunaan kuasa oleh pegawai tidak berlaku yang boleh menyebabkan persaingan yang tidak adil antara kontraktor.

“Contohnya, pegawai yang tahu spesifikasi untuk tender sesuatu projek, mereka boleh menghubungi kontraktor tertentu dan memberitahu informasi yang tidak diberikan kepada kontraktor lain.

“Spesifikasi itu boleh menyingkirkan peluang syarikat lain yang berkelayakan dan memberikan peluang kepada syarikat yang sudi ‘memberikan sesuatu’ kepada pegawai tadi,” kata Dr Zaharuddin.

Selain itu, beliau turut berpendapat mekanisme terbaik perlu digunakan bagi mengenal pasti golongan B40 agar bantuan terhadap golongan itu dapat mencapai sasaran yang sepatutnya.

“Itu cabarannya,” katanya.

“Begitu juga bantuan pemilikan rumah mampu milik, kerajaan lama pun telah sediakan banyak skim untuk itu, tetapi syarat kadar nisbah hutang oleh pihak bank adalah pada tahap 60 ke 70 peratus.

“Mengikut kajian, orang yang B40, kadar hutang mereka adalah 97 peratus, menjadikan mereka memang tak layak mendapat pinjaman, sedangkan rumah dan skim disediakan untuk orang miskin [...] Akhirnya peruntukan tak sampai kepada masyarakat (sasaran),” katanya.

Menurutnya, kadar tersebut wajar dinaikkan kepada 90 peratus bagi memastikan golongan tersebut memperoleh manfaatnya.

Lihat Komen
ADS