Most Read
Most Commented
Read more like this

Akhbar Tamil Malaysia Nanban yang sering mengkritik Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu yakin akan beroperasi esok setelah gagal memasarkannya dua hari lalu.

"Segala masalah telah selesai dan kita (Malaysia Nanban) akan keluarkan esok," jelas seorang kakitangan akhbar itu kepada malaysiakini petang ini.

Menurutnya, akhbar itu tidak mahu isu berhubung pengedaran akhbar tersebut berpanjangan dan menjelaskan masalah pengeluaran akhbar Tamil itu telah selesai.

Bagaimanapun, sumber itu tidak bersedia mengulas lanjut sama ada masalah permit akhbar menyebabkan pencetakan akhbar itu terhenti.

Malaysia Nanban dilaporkan telah tamat permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri pada bulan Jun lalu dan dijangka menerima permit itu pada jam 4 petang tadi.

Sumber itu turut mendedahkan bahawa akhbar itu menghadapi sedikit masalah permit apabila seorang pengarah syarikat berkenaan, Penerbit Sahabat Malaysia Sdn Bhd, disahkan muflis.

Menurut laporan akhbar

The Sun hari ini, Ketua Pengarangnya Athi Kumanan tidak menafikan bahawa kritikan terhadap Samy Vellu menyebabkan akhbar itu mengalami "masalah teknikal" tetapi beliau enggan mengulas perkara itu lebih lanjut.

Beliau turut dilaporkan berkata sekiranya akhbar itu tidak diedarkan esok, maka "banyak perkara yang perlu diperkatakan".

Sementara sumber lain dilaporkan berkata akhbar itu telah menerima notis KDN awal minggu ini.

Menurut laporan akhbar The Star hari ini, akhbar Tambil itu didakwa telah melaporkan beberapa isu antaranya siri perbalahan kaum di Sri Lanka yang tidak menyenangkan kedutaan negara itu di Kuala Lumpur.

Pejabat kedutaan tersebut dipercayai telah mengemukakan aduan kepada pihak KDN. Tambah laporan itu lagi, Nanban juga telah menerima beberapa surat amaran daripada kementerian itu.

Bagaimanapun Penolong Setiausaha Unit Kawalan dan Penerbitan KDN, Abdul Ghaffar Dollah memberitahu malaysiakini , pihaknya tidak mendapat maklumat berhubung perkara itu.

Ditanya berhubung isu permit akhbar berkenaan, Ghaffar berkata, "hanya menteri (Datuk Seri Abdullah Badawi) yang memutuskan perkara tersebut. Pegawai KDN tidak mempunyai kuasa untuk memaklumkannya."


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS