Paling Popular
Terkini
story images
story images



ULASAN l Kumpulan B40 yang merujuk kepada isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,860 tentunya boleh menarik nafas lega kerana mendapat banyak manfaat daripada Belanjawan 2019 yang dibentangkan baru-baru ini

Antaranya Bantuan Sara Hidup (BSH), subsidi minyak bersasar dan tambahan subsidi elektrik.

Rata-rata pihak yang ditemu bual Bernama berterima kasih kepada kerajaan memandangkan kos sara hidup yang kian meningkat dan berharap apa yang diumumkan itu akan benar-benar mendatangkan manfaat.

Mereka bagaimanapun menyarankan supaya pihak berkuasa terlibat melakukan saringan serta ‘turun padang’ untuk memantau perlaksanaan setiap langkah yang dibentangkan di dalam Belanjawan 2019 bagi memastikan hanya mereka yang layak sahaja mendapat faedah berkenaan.

“Apa yang kerajaan cuba buat ini memang sangat membantu golongan B40 seperti kami, cuma perlu pastikan yang betul-betul layak sahaja yang menerima. Contohnya, mereka yang duduk di flat (pangsapuri) yang saya tinggal ini, ada penghuni yang memandu kereta mewah sedangkan kalau ikut logik golongan seperti kami ini mana mampu.

“Kerajaan atau mana-mana pihak terlibat boleh datang buat bancian dari rumah ke rumah, selidik betul-betul maklumat setiap keluarga. Mungkin cara tu lebih berkesan,” demikian kata anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Shazlina Shahidan, 41, kepada Bernama baru-baru ini.

Jelas konsep dan saluran

Shazlina dan suami, Mohd Irwan Uyup, 37, serta empat orang anak mereka tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Batu Muda, Jalan Ipoh sejak tiga tahun lalu.​​​​​​​

Berasal dari Perlis, beliau yang berkhidmat sebagai anggota Rela sejak lima tahun lalu juga meminta agar lebih banyak penjelasan dibuat berhubung subsidi bersasar untuk golongan B40 serta proses permohonan.

“Kami ni rakyat biasa. Kadang-kadang ada dengar pasal bantuan itu, bantuan ini, tapi tak tahu macam mana nak memohon. Jadi minta sangatlah kalau ada apa-apa bantuan dihebahkan dengan lebih meluas supaya kami tidak terlepas daripada menikmati faedah ini.

“Jika segala bantuan atau subsidi berjaya sampai ke tangan yang sepatutnya, InsyaAllah golongan B40 juga boleh memperbaiki taraf hidup mereka dan berpeluang berubah menjadi golongan M40 ( isi rumah berpendapatan purata bulanan antara RM3,860 hingga RM8,319),” tambahnya.

Bantuan kurang beban

Seorang pekerja swasta, Fara Nadila Mo’min, 28, berkata meskipun sedikit kecewa kerana tiada lagi bantuan sara hidup untuk individu bujang seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini, subsidi minyak bersasar setidak-tidaknya masih membantu mengurangkan bebanan golongan B40 seperti dirinya.

“Kerja saya memang memerlukan saya sentiasa keluar di sekitar Lembah Klang untuk bertemu pelanggan. Dengan adanya subsidi minyak dapatlah juga meringankan beban perbelanjaan. Kalau tak ‘sakit’ jugalah dengan gaji ‘biasa-biasa’ ni, “ katanya.

Beliau turut menyentuh ​​​​​​​kadar gaji minimum seragam bagi seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang ditetapkan sebanyak RM1,100 sebulan berkuat kuasa 1 Januari 2019.

“Dengan situasi kos sara hidup yang kian mencabar, diharapkan semua agensi atau syarikat mematuhi arahan ini kerana terdapat segelintir pihak yang tidak mengikut paras gaji yang ditetapkan dan ini hanya membebankan pekerja,” tambahnya.

Bagi suri rumah Nur Hasmila Hassan, 48, dari Kemaman, Terengganu, walaupun tidak menetap di ibu kota Kuala Lumpur, ‘tempias’ peningkatan kos sara hidup turut dirasainya.

Beliau berkata fokus kerajaan membantu golongan B40 dalam Belanjawan 2019 akan dimanfaatkan sebaiknya lebih-lebih lagi memastikan dua anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dapat meneruskan pengajian mereka.

“Alhamdulillah, banyak manfaat yang akan diterima. Sekarang harga barang terasa sangat, kadang-kadang rasa ‘sesak’ nak memastikan bajet cukup sampai hujung bulan. Saya mempunyai empat orang anak, dua orang sedang belajar, seorang di Johor, seorang di Perak dan dua orang masih bersekolah.

“Bukanlah kita rakyat nak mengeluh, cuma dengan adanya bantuan kerajaan bolehlah merasa kehidupan yang lebih selesa. Bila dengar ada BSH, subsidi minyak bersasar dan subsidi elektrik, legalah sikit,” katanya.

Menurut Nur Hasmila, sebagai suri rumah beliau bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami, perlu berjimat cermat dalam soal perbelanjaan harian dan untuk menampung keperluan pelajaran anak-anak di samping bayaran pinjaman perumahan dan ansuran kereta, “ katanya sambil menambah agar kerajaan dapat menimbang untuk menaikkan jumlah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi meringankan beban ibu bapa golongan B40.

Tepati keperluan

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Mohd Yusof Abdul Rahman berkata Belanjawan 2019 sememangnya banyak memberi fokus kepada golongan B40 khususnya mereka dalam kategori miskin bandar.

Ini termasuk langkah memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 1 Jan 2019.

Dalam mengulas mengenai subsidi minyak bersasar, beliau berkata ia bukan sahaja lebih rasional bahkan membantu kerajaan mengurangkan jumlah tanggungan subsidi yang diberikan kepada semua pihak ketika ini.

“Golongan berpendapatan tinggi dengan kenderaan mewah dan berkuasa tinggi sebenarnya yang banyak menggunakan minyak (petrol dan diesel). Mereka yang berpendapatan rendah kebanyakannya menggunakan pengangkutan awam, motosikal dan jika menggunakan kereta pun hanya dengan kapasiti 1,300cc.

“Kerajaan boleh melaksanakan sistem kad khas untuk golongan sasaran bagi tujuan subsidi minyak. Jika ingin diperluas kepada subsidi makanan, kerajaan boleh mewujudkan mekanisme yang bukan berbentuk wang tunai sebaliknya penggunaan kupon atau ‘Mykad’ untuk tujuan membeli makanan di premis tertentu dengan jumlah yang ditetapkan setiap bulan,” jelasnya.

Mohd Yusof pada masa sama berkata program kendalian Yayasan MyKasih, sebuah organisasi kebajikan khusus untuk membantu golongan kurang berkemampuan wajar dijadikan contoh apabila menggunakan MyKad mereka yang berdaftar untuk berbelanja di peruncit terpilih bernilai RM80 sebulan.

Program yang dikenali sebagai MyKasih itu memberi bantuan makanan dan pendidikan tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan kepada mereka yang layak termasuk kepada golongan pelajar yang menggunakan MyKad mereka untuk membeli makanan di kantin, kedai buku dan kedai alat tulis di sekolah.

B40 kepada M40

Mohd Yusof turut berpendapat usaha perlu terus dijalankan untuk meningkatkan taraf hidup golongan B40 kepada M40 termasuk inisiatif seperti membuka peluang perniagaan atau mengembangkan perniagaan sedia ada.

Selain anak-anak golongan itu wajar diberi bantuan untuk membiayai pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi, warga tua, orang kelainan upaya (OKU) serta mereka yang menghidap penyakit tertentu juga perlu dibantu bagi meringankan bebanan mereka.

Bagi mengelak berlakunya pertindihan bantuan oleh mana-mana pihak, sebuah badan penyelaras wajar ditubuhkan bagi memastikan setiap bentuk bantuan dimanfaat secara menyeluruh.

“Terbaru, inisiatif program Food Bank Malaysia yang diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga dilihat sebagai antara yang memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan. Terdapat pasar raya yang mula ​mengagihkan lebihan makanan yang masih baik kepada yang memerlukan bagi menyahut saranan KPNDHEP ini.

“Diharapkan akan lebih ramai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) akan terlibat dalam program seumpama ini kerana untuk jangka masa panjang ia dapat membantu memperbaiki taraf hidup rakyat, “ katanya.

Diminta mengulas mengenai laporan Khazanah Research Institute yang menyatakan isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah membelanjakan 94.8 peratus pendapatan mereka setiap bulan dengan baki yang tinggal untuk simpanan hanyalah 5.2 peratus (RM76), beliau berkata “itulah hakikat sebenar kedudukan rakyat berpendapatan rendah negara ini”.

“Mereka inilah golongan yang mudah terjejas jika berlaku perubahan kos sara hidup seperti peningkatan harga barang, makanan, pengangkutan, utiliti dan sebagainya. Justeru, memang wujud keperluan untuk kerajaan memberi keutamaan dan bantuan kepada mereka.

“Beri peluang untuk mereka meningkatkan pendidikan atau kemahiran supaya mendapat pekerjaan yang lebih baik. Mereka juga boleh diberi peluang atau merebut peluang membuat kerja sambilan dengan berniaga ‘food-truck’, memandu Grab melalui perkhidmatan syarikat e-hailing yang menggunakan kereta persendirian,” katanya sambil menambah bantuan kewangan daripada agensi kerajaan yang berkaitan dapat membantu golongan itu memulakan perniagaan.

Berpendapat kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti harga makanan, kos petrol, utiliti dan sebagainya menjadi faktor penyumbang situasi yang terus ‘menekan’ golongan berpendapatan rendah, beliau berkata kerajaan perlu mengatasi perkara itu.

“Banyak faktor kenaikan harga barang antaranya sikap orang tengah, jumlah bekalan, faktor cuaca, amalan monopoli dan sebagainya. Terdapat juga bahan mentah yang diimport sebagai contohnya makanan import keperluan rakyat pada 2017 adalah berjumlah RM51.3 bilion. Selain itu, jika bekalan makanan tidak mencukupi, harga juga akan naik.

“Kerajaan hanya mengawal beberapa barang sahaja seperti gas memasak, minyak masak paket 1 kilogram, petrol, diesel, gula, beras tempatan dan topeng muka. Kerajaan tidak boleh mengawal semua harga barang kerana ia melibatkan subsidi. Namun begitu, kerajaan boleh mewujudkan dasar untuk memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan tidak memberi beban kepada rakyat,” kata Mohd Yusof.

Dalam pembentangan Belanjawan 2019 Jumat lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng antaranya mengumumkan pemberian BSH bagi isi rumah berpendapatan RM2,000 ke bawah hingga RM4,000, bermula daripada RM500 sehingga RM1,000.

Turut diumumkan adalah kadar tambahan BSH sebanyak RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah, terhad kepada empat orang kecuali anak orang kelainan upaya (OKU) yang tidak dihadkan umur.

Selain mengumumkan peningkatan subsidi elektrik isi rumah untuk penggunaan RM20 ke bawah kepada RM40, antara perkara yang paling ditunggu-tunggu ialah pengumuman subsidi minyak secara bersasar kepada pemilik kereta dengan kapasiti 1,500cc dan ke bawah serta pemilik motosikal 125cc dan ke bawah.

Melalui mekanisme itu, kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.

Bakal bermula pada suku kedua 2019 melibatkan peruntukkan sebanyak RM2 bilion, inisiatif itu dijangka akan memanfaatkan seramai empat juta pemilik kenderaan dan 2.6 juta pemilik motosikal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS