Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan P Pinang bentang belanjawaan defisit RM395.69 juta untuk 2019
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 5:03 PM
Dikemaskini: 9:03 AM

Kerajaan Pulau Pinang hari ini membentangkan Belanjawan 2019 berjumlah RM901.19 juta dengan defisit RM395.69 juta berbanding RM748.5 juta defisit tahun lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata Belanjawan defisit itu tidak hanya berpunca daripada perbelanjaan mengurus langsung sebanyak RM671.19 juta tetapi disebabkan pindaan RM230 juta daripada Akaun Hasil Disatukan ke Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk pembiayaan projek-projek pembangunan yang dirancang berjumlah RM306.38 juta.

"Anggaran defisit atau kekurangan RM395.69 juta yang dijangka dalam Bajet 2019 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri," katanya ketika membentangkan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 dan Usul Anggaran Pembangunan 2019 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini.

Beliau berkata jumlah defisit dalam Belanjawan 2019 berkurangan dengan ketara iaitu sebanyak 47 peratus berbanding Belanjawan 2018 kerana kerajaan negeri tidak lagi menyediakan kemudahan pinjaman kepada Badan-badan Berkanun negeri.

"Langkah drastik itu perlu diambil oleh pihak kerajaan negeri setelah mengambil kira kedudukan kewangan semasa kerajaan negeri selain bertujuan memantapkan kedudukan kewangan semasa," katanya.

Beliau berkata walaupun kerajaan negeri menjangkakan defisit bagi Belanjawan 2019, namun ia tidak akan menjejaskan perbelanjaan mengurus kerajaan negeri dan semua komitmen pembiayaian bagi pelaksanaan projek-projek pembangunan, bantuan-bantuan sosial rakyat, pemberian serta program-program Agenda Ekonomi Saksama yang akan diteruskan seperti dijanjikan.

"Meskipun begitu, kerajaan negeri akan memperhalusi semula program-program tertentu bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh golongan yang benar-benar memerlukan dan layak di mana ini adalah selaras dengan keputusan yang diambil oleh kerajaan persekutuan berkenaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)," katanya.

Chow berkata cadangan Belanjawan Pembangunan negeri bagi 2019 pula berjumlah RM306.38 juta yang merupakan penurunan sebanyak RM378.60 juta atau 55.27 peratus jika dibandingkan dengan jumlah Belanjawan Pembangunan sebanyak RM684.97 juta pada tahun 2018.

"Penurunan ini antaranya adalah disebabkan tiada kemudahan pinjaman disediakan oleh kerajaan negeri kepada Badan Berkanun Negeri bagi tahun 2019 berbanding RM350 juta disediakan pada tahun 2018," katanya.

Beliau berkata penurunan belanjawan pembangunan itu tidak akan menjejaskan projek pembangunan secara langsung yang telah dirancang oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, Chow berkata dalam usaha untuk meningkatkan tahap kebersihan dan menghijaukan alam sekitar, kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang sedang membina stesen pemindahan sampah dengan kos sebanyak RM61.5 juta di Batu Maung.

"Stesen ini akan mula beroperasi 1 Dis depan dan berupaya menerima sehingga 800 tan sampah sehari iaitu semua sampah di bahagian pulau akan disalur ke stesen itu untuk dimampatkan bagi diangkut melalui Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ke Tapak Pelupusan Sampah di Pulau Burung untuk dilupuskan," katanya.

Bagi meningkatkan keberkesanan sistem pengangkutan awam, Chow berkata kerajaan negeri mencadangkan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Koridor Utara di atas tanah tebus guna di Batu Maung berhampiran Pulau Rimau kerana projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hanya mampu menanggung kapasiti penumpang dan kargo untuk tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang sahaja.

"Bagi keperluan lapangan terbang selepas tahun 2050, Lapangan Terbang Antarabangsa Koridor Utara diperlukan dan kerajaan negeri akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek dalam tempoh terdekat," katanya.

Selain itu, beliau berkata selaras dengan keputusan kerajaan persekutuan untuk mengurangkan BR1M secara berperingkat, kerajaan negeri juga sedang mengkaji semula program-program bantuan i-Sejahtera yang merangkumi program pemberian bantuan Warga Emas, Ibu Emas, Anak Emas, Orang Kelainan Upaya, Pelajar Emas dan lain-lain.

"Program itu telah dinikmati 1.6 juta rakyat Pulau Pinang dan sekiranya diteruskan, kerajaan negeri akan membelanja sejumlah RM45 juta pada tahun 2019," katanya.

-- Bernama

Lihat Komen
ADS