Berita Malaysiakini

Keluarga mangsa kes pembunuhan desak k’jaan tak mansuh hukuman mati

Faisal Asyraf  |  Diterbitkan  | 

Ahli keluarga mangsa kes pembunuhan berprofil tinggi hari ini tampil mendesak kerajaan supaya tidak memansuhkan hukuman mati mandatori.

Antara yang hadir adalah ahli keluarga, jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya; timbalan pendakwa raya, Datuk Anthony Kevin Morais dan pegawai bank, Wong Jing Kui.

Menurut mereka pemansuhan hukuman mati adalah tidak adil dan hanya akan menyumbang kepada peningkatan kes jenayah berat di negara ini. Mereka diwakili oleh peguam Christina Teng.

“Kes ibu saya makan masa selama lapan tahun. Anak saya yang kecil dah nak masuk darjah dua. Satu masa yang sangat lama untuk jatuhkan hukuman pada pesalah... jadi bila dapat tau hukuman mati itu, saya sangat gembira dengan keputusan yang dibuat oleh mahkamah.

“Baru tahun lepas selesai. Tahun ni pula hukuman mati ini nak dimansuhkan.

“Memang kerajaan sekarang menghala ke arah kemanusiaan. Tapi adakah pesalah fikir pasal kemanusiaan pada keluarga mangsa?” soal Erni Dekritawati Yuliana Buhari, anak sulung Sosilawati yang mati dibunuh.

Erni tidak dapat menahan emosinya dan menangis semasa sidang akhbar yang diadakan di Desa Pandan, Kuala Lumpur, hari ini.

Tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap tiga lelaki yang didapati bersalah atas pembunuhan Sosilawati.

Dia dan tiga pembantunya dibunuh pada 2010 di sebuah ladang oleh seorang lelaki yang mempunyai gelaran "Datuk" dan dua orang rakannya. Badan mereka kemudian dibakar.

Mangsa dilaporkan hilang selepas mereka ke Banting untuk urusan tanah.

Sementara itu, adik bongsu Anthony Kevin, Richard Morais, berkata dia masih trauma terhadap apa yang berlaku.

“Kejadian itu berlaku pada 2015, namun setiap hari saya masih mengenangkan nasib mendiang yang dibunuh secara kejam dengan disimen dan diletakkan di dalam tong.

“Menyentuh mengenai kes mendiang, ia masih berjalan. Namun, jika hukuman mati dimansuhkan, sudah tentu pesalah akan terlepas dari tali gantung,” katanya.

[Baca berita penuh]