Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Bon samurai: Jepun tidak kenakan sebarang syarat, kata PM

Kerajaan Jepun tidak meletak sebarang syarat dalam tawarannya untuk memberi jaminan kepada pengeluaran Bon Samurai berjumlah RM7.4 bilion kepada Malaysia, kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

"Tiada, tiada syarat dikenakan," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi China Dunia di Seri Kembangan dekat Kuala Lumpur hari ini.

"Pinjaman yen itu boleh digunakan untuk membayar pinjaman sedia ada atau dibelanjakan untuk projek-projek pembangunan," katanya.

Dr Mahathir ditanya sama ada kerajaan Jepun ada mengenakan sebarang syarat semasa memberikan tawaran itu, misalnya sebagai tukarannya hendaklah membenarkan syarikat-syarikat Jepun terlibat dalam pembinaan projek-projek infrastruktur mega di Malaysia.

Ini seperti perjanjian Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menyaksikan syarikat China dilantik sebagai pemaju sebagai pertukaran pemberian pinjaman daripada negara itu.

Bon Samurai itu adalah untuk tempoh 10 tahun dan dijangka akan dikeluarkan sebelum Mac tahun depan menerusi Bank Kerjasama Antarabangsa Jepun dengan kupon indikatif pada 0.65 peratus

Pada pembentangkan Belanjawan 2019 Jumaat lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata tawaran pinjaman itu dibuat kerana keyakinan kerajaan Jepun terhadap pentadbiran dan kepimpinan Mahathir.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama memetik Dr Mahathir sebagai berkata kerajaan juga akan mendapatkan nasihat dan belajar daripada syarikat kereta api Jepun, JR Kyushu, untuk mengkaji sistem kereta api di Malaysia.

Dalam lawatan kerja beliau ke Jepun yang berakhir baru-baru ini, Mahathir berkata usaha kerajaan Malaysia mendapatkan kerjasama JR Kyushu untuk menjalankan kajian terhadap perkhidmatan kereta api negara adalah untuk memastikan perkhidmatan itu benar-benar memberi manfaat kepada negara dan rakyat kerana penggunaan perkhidmatan itu pada masa kini hanya 30 peratus.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa kerajaan akan terus berunding dengan China berhubung Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang telah ditangguhkan.

"Bukan mudah untuk berunding tetapi kami akan terus berunding. (Berapa lama masa diambil) saya tidak dapat beritahu. Saya tidak tahu jadualnya," katanya ketika diminta mengulas kenyataan yang dibuat Tun Daim Zainuddin semalam.

Semalam, Daim, bekas Menteri Kewangan dan kini Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan berkata negara juga sedang meneliti pilihan-pilihan untuk menangani projek bernilai RM80 bilion bagi membina laluan rel dari Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor.

Lihat Komen
ADS